WHO beri kelulusan Covaxin

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi kelulusan untuk penggunaan kecemasan bagi vaksin Covaxin, yang disokong kerajaan India.

Vaksin Covid-19 itu diluluskan di India pada Januari ketika fasa ketiga ujian klinikal masih dijalankan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan kritikan mengenainya.

Pembangun vaksin Bharat Biotech menerbitkan data yang menunjukkan keberkesanan vaksin itu mencecah 78 peratus.

WHO dalam tweetnya berkata ia percaya manfaatnya jauh melebihi risiko.

Panel pakar WHO yang membenarkan kelulusan kecemasan telah meminta lebih banyak data bulan lalu semasa meneliti permohonan Bharat Biotech yang telah difailkan Julai lepas.

Vaksin dua dos itu akan diberikan dalam tempoh selang empat minggu dan diberikan kepada individu berusia 18 tahun ke atas.

Ia juga dilaporkan sangat sesuai bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana kerana kaedah penyimpanannnya yang mudah.

Beberapa negara dunia telah mengiktiraf Covaxin dan India berharap kelulusan oleh WHO itu menambah pengiktirafan.

Ada juga beberapa pakar mempersoal kelulusan berkenaan berikutan data yang tidak lengkap, namun pengerusi firma Dr Krishna Ella berkata vaksin itu “200 peratus selamat.”

Related posts

Leave a Comment