KAHERAH – Selat Hormuz kini ditutup dan penasihat kanan kepada ketua Pengawal Revolusi, Ebrahim Jabari memberi amaran, Iran akan melepaskan tembakan ke arah mana-mana kapal yang cuba melaluinya.
“Selat Hormuz ditutup. Jika sesiapa cuba melintas, wira Pengawal Revolusi dan tentera laut biasa akan membakar kapal-kapal tersebut,” kata Ebrahim Jabari.
Ini merupakan amaran paling tegas Iran sejak memaklumkan penutupan laluan eksport tersebut pada Sabtu, satu langkah yang berpotensi menyekat 20 peratus aliran minyak dunia dan menyebabkan harga minyak melambung.
Selat itu merupakan laluan eksport minyak paling penting di dunia, yang menghubungkan pengeluar minyak utama Teluk – termasuk Arab Saudi, Iran, Iraq dan Emiriyah Arab Bersatu – dengan Teluk Oman dan Laut Arab.
Penutupan itu tercetus selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu yang bertujuan menggulingkan kepimpinannya, dengan Presiden Donald Trump menawarkan bantuan kepada rakyat Iran untuk menyingkirkan pemerintah ulama negara itu.
Sebagai tindak balas, Iran melepaskan beberapa serangan peluru berpandu ke atas negara jiran di Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS seperti Qatar, Kuwait dan Bahrain.
Tehran turut menembak peluru berpandu ke Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Oman.
Dengan penutupan ini, Tehran menunaikan ancaman bertahun-tahun untuk menyekat laluan sempit itu sebagai balasan terhadap sebarang serangan ke atas Republik Islam itu.
Sekitar 20 peratus penggunaan minyak dunia sehari melalui Selat Hormuz, yang hanya sekitar 33km pada titik tersempitnya.
