SELEPAS dipecat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkongsi gambar pertemuan beliau dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang berlangsung di Rusila, Terengganu.
“Alhamdulillah. Minum petang di Rusila. Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” tulis Hamzah menerusi hantaran di Facebooknya.
Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden Pas, Datuk Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diiringi beberapa pimpinan kanan parti berkenaan, termasuk Naib Presiden Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran.
Turut kelihatan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang sebelum ini digugurkan daripada jawatan Pengerusi PN Pahang dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan yang turut dipecat.
