KUALA LUMPUR 14 Feb . – Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dipecat keahlian partinya berkuat kuasa serta-merta kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.
“(Pemecatan) berkuat kuasa 13 Februari 2026 (hari ini) kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu dalam satu notis yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan, memaklumkan lembaga yang bersidang semalam itu memutuskan pemecatan berkenaan.
Notis ini berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun pihak Datuk Seri (Hamzah) boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” tulis notis itu.
Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu mahu supaya keahlian Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.
Hamzah yang juga ketua pembangkang Parlimen turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan Bersatu ketika ini.
Sebelum ini, Bersatu juga sudah mengambil tindakan pemecatan kepada ramai pemimpinnya yang terbabit dalam gerakan sama.
Nnn
