Projek ternakan babi Bukit Tagar batal

SHAH ALAM 26 Jan.  – Projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor dibatal dan ditangguhkan sementara lokasi alternatif atau kaedah yang lebih sesuai ditemui, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau memberitahu keputusan berkenaan dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu selepas Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim memaklumkan terdapat bantahan keras berhubung projek terbabit.

Katanya, MMKN sebenarnya telah memberikan arahan untuk mencari alternatif kawasan lain sebelum Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan kepada kerajaan negeri supaya membatalkan dahuku projek itu.

“Memang MMKN memberikan arahan untuk mencari alternatif kawasan kerana kita lihat ada bantahan keras di Bukit Tagar.

“Kemudian diikuti dengan cadangan PM yang saya sambut baik. Tapi kita tidak akan maklumkan lagi kawasan-kawasan itu ataupun cadangan-cadangan lain kerana kita belum putuskan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Muda Musa, di sini, hari ini.

Amirudin turut mengakui rancangan kerajaan negeri itu diumumkan terlalu awal sehingga mencetuskan pelbagai perdebatan.

“Memang isu ini agak separuh masak sebab apa-apa pun belum dihantar tapi (kelihatan) macam kita dah nak pacak (bina) semalam atau hari ini

Tidak mengapa, kita belajar daripada hal tersebut mungkin ada yang terlebih umum, agak mendahului kerana yang sepatutnya penglibatan dengan pengusaha perlu dibuat,” katanya.

Beliau berkata, Anwar memaklumkan cadangan supaya projek berkenaan dibatalkan menerusi panggilan telefon ketika beliau berada di luar negara untuk pemukiman sebuah agensi kerajaan negeri.

Katanya, cadangan projek ternakan babi di Bukit Tagar dilakukan bagi menangani masalah pencemaran yang berlaku di Tanjong Sepat, Kuala Langat sejak belasan tahun lalu.

“Kita ikut nasihat PM, sebab isu ini dah melampaui daripada hal dan realiti sebenar. Tak apalah kita tangguh dan kita batalkan buat sementara, sebelum kita dapat alternatif tapak ataupun kaedah lain,” katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat mingguan Kabinet berpandangan bahawa isu berkenaan membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan baharu itu harus diberi perhatian.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya projek tersebut dibatalkan terlebih dahulu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 12 Januari lalu dilaporkan murka dengan perancangan kerajaan Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi berskala besar di Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara serta menzahirkan kebimbangan kerana kawasan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan masalah berkaitan penternakan babi di kawasan itu gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment