KUALA LUMPUR 26 Jan. – Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan mengesahkan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tidak dinamakan sebagai calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, ini kerana tiada peruntukan yang menetapkan jawatan pengerusi gabungan itu mesti dipilih dalam kalangan presiden parti anggota.
“Jadi Pas berpandangan jika di kalangan parti anggota bersetuju Pas menjadi parti yang menganggotai PN, maka sesiapa sahaja yang dicalonkan atau diusulkan oleh Pas untuk memegang jawatan berkenaan adalah layak.
“Jawatan itu tidak semestinya diberikan kepada Presiden Pas semata-mata. Itu yang kita faham berdasarkan kepada peruntukan dalam Perlembagaan,” kata Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN pada sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut di sini.
Sebelum ini, Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Peletakan jawatan itu disahkan sendiri bekas Perdana Menteri tersebut menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa yang mana peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu berkuat kuasa 1 Januari ini.
Susulan itu, timbul pelbagai spekulasi calon akan menerajui PN termasuk Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Moktar.
