AG boleh fail semakan hukuman mati

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Peguam Negara (AG) boleh memfailkan semakan hukuman mati terhadap bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar, yang disabitkan dengan pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaaribu pada 2006.

Menurut peguam, Muhammad Shafee Abdullah, antara mekanisme boleh dipertimbangkan adalah menerusi Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) berkuat kuasa 4 Julai lalu yang membenarkan mahkamah melakukan semakan berdasarkan permohonan individu dalam kes terbabit.

“(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Saifuddin (Nasution Ismail) kata kita kena tunggu Sirul buat permohonan. Namun cara saya tafsir lain sikit dan mungkin menteri boleh terima.

“Bagi saya dalam peruntukan tersebut, mahkamah boleh buat semakan atau (sebenarnya) siapa-siapa juga yang buat permohonan (semakan).

Salah seorang (terlibat dalam) mekanisma itu adalah individu terlibat bagi saya adalah DPP (Timbalan Pendakwa Raya), juga boleh permohonan atas kapasiti mereka sebagai AG, selaras dengan permintaan kerajaan Australia,” katanya.

Muhammad Shafie berkata demikian ketika menjadi panel dalam rakaman program bual bicara Podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan pada Rabu lalu dan disiarkan menerusi Youtube pagi ini.

Pandangan itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, yang menjelaskan bahawa kerajaan tidak boleh memulakan sebarang usaha untuk mengekstradisi Sirul dari Australia, selagi dia tidak mengemukakan permohonan semakan hukuman mati ke atasnya.

Saifuddin berkata cadangan bekas Perdana Menteri, Najib Razak supaya Malaysia mengadakan libat urus bersama pihak berkuasa Australia bagi memudah cara ekstradisi Sirul ke negara ini, sekali gus menyiasat dakwaan dia menerima RM1 juta untuk menutup mulut tidak boleh dilakukan.

Related posts

Leave a Comment