SEPANG 10 Jan. – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan keputusan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat tahun ini, sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada tahun 2030 di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar.
Baginda tidak bersetuju dengan perancangan berkenaan, khususnya apabila ada kemungkinan ia melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
Titah baginda kajian pasaran harus dibuat dengan teliti dan rasional sebelum ketetapan muktamad dibuat.
Ini kerana pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.
Secara prinsipnya, baginda menerusi titah kenyataan hari ini akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal, demi untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat berbangsa Cina dan bukan Islam di negeri Selangor.
Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam.
Baginda juga menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami oleh ramai penduduk Melayu, dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan tersebut masih gagal diselesaikan sejak tahun 2010.
“Penduduk sekitar telah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan, yang menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah.
Baginda berkenan memetik beberapa Firman Allah Subhanahu Wata’ala, antaranya dalam Surah Al-An’aam ayat 145 yang menyebut bahawa daging babi adalah najis/kotor, bermaksud :-
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor”.
Sultan Selangor juga menegaskan bahawa kediaman baginda, Istana Pantai Bahagia juga terletak di kawasan Kuala Langat, dan merasai sendiri serta menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan tersebut.
Justeru, titah baginda adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar.
Untuk itu, Baginda mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar.
Atas sebab itu juga, Baginda tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi kerana bimbang masalah pencemaran yang telah berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk.
Pada masa sama baginda turut mempersoalkan sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar ini ada melibatkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu.
Baginda turut menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek berkenaan.
Menurut baginda lagi, Kerajaan Negeri pernah menghantar wakil ke luar negara untuk mendapatkan informasi tentang penternakan babi secara moden.
Namun, baginda difahamkan, kos pemodenan itu menelan belanja yang sangat tinggi dan tidak sanggup untuk ditanggung oleh pengusaha ternakan.
Justeru baginda mempersoalkan cadangan terbaharu ini sama ada ia akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, sedangkan peruntukan itu lebih bermanfaat disalurkan untuk pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital.
“Kerajaan Negeri hendaklah bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab, serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain,” katanya.
Nnnn
