Pemulihan Tun M ambil masa lama

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Mengambil kira faktor usia, proses pemulihan Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), dijangka memakan masa agak lama.

Bekas Perdana Menteri itu juga akan menjalani rawatan fisioterapi tanpa pembedahan, sebagai pilihan terbaik buat masa ini bagi pemulihan tulang pinggul yang patah akibat terjatuh di kediamannya di The Mines, Serdang, Selasa lalu.

Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff, dalam satu kenyataan, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan doktor pakar dari IJN, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Dr Mahathir dan keluarga juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau.

Buat masa ini juga, Dr Mahathir tidak dibenarkan menerima pelawat kecuali keluarga terdekat,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin berusia 100 tahun itu dikejarkan ke IJN dalam keadaan sedar dengan menggunakan ambulans selepas terjatuh di kediamannya.

Dr Mahathir dilaporkan terjatuh ketika bergerak dari satu bahagian di balkoni untuk ke ruang tamu.

Related posts

Leave a Comment