Jadikan titah Sultan Selangor peringatan keras

SEPANG 10 Jan – Kerajaan Negeri Selangor perlu menjadikan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung ternakan babi Tanjong Sepat, Kuala Langat, sebagai peringatan keras agar setiap dasar pembangunan berpaksikan amanah, ketelusan dan keutamaan kebajikan rakyat, bukan kepentingan kelompok tertentu.

Ketua Dewan Pemuda Pas negeri,  Mohamed Sukri Omar berkata, titah itu adalah manifestasi keprihatinan Raja Berperlembagaan yang bukan sekadar Ketua Agama Islam Negeri tetapi pelindung keharmonian masyarakat, penjaga alam sekitar serta pembela kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, kebimbangan Tuanku sangat berasas kerana isu pencemaran bau, sungai, masalah kesihatan awam serta gangguan kualiti hidup penduduk setempat bukan perkara baharu malah berlarutan lebih sedekad tanpa penyelesaian tuntas.

Justeru katanya, adalah tidak wajar dan tidak berhemah untuk membenarkan skala operasi yang lebih besar di kawasan yang sama.

“Pemuda Pas Selangor menyokong penuh pendirian Tuanku bahawa penternakan babi secara kecil dan terkawal bagi keperluan tempatan kaum bukan Islam adalah satu perkara yang boleh difahami.

Namun, perancangan berskala besar apatah lagi berorientasikan eksport adalah tidak seimbang, tidak sensitif dan mencabar realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sultan Selangor hari ini murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

Secara prinsipnya, baginda akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat berbangsa Cina dan bukan Islam di Selangor.

Dalam pada itu, Pemuda Pas Selangor turut memandang serius kebimbangan Tuanku berhubung kemungkinan wujudnya konflik kepentingan, ketirisan tadbir urus atau unsur rasuah dalam perancangan dan kelulusan projek ini.

“Isu sebesar ini tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa, tertutup dan tanpa libat urus menyeluruh bersama rakyat setempat. Pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesihatan awam, alam sekitar serta keharmonian antara kaum,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda Pas Selangor akan terus berdiri teguh mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, memelihara kesucian agama Islam serta memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat Selangor dengan penuh hikmah dan berprinsip.

“Menjunjung titah Tuanku bukan sekadar slogan, tetapi satu tanggungjawab moral, politik dan agama,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment