Bersatu dan berjuanglah Melayu

PASCA KONVENSYEN 153

 

1.Konvensyen 153 pada 13 Disember 2025 sudah berlalu. Tahniah kepada Negarawan Tun Mahathir Mohamad yang menyampaikan ucapan perasmian dengan tidak letih menyeru orang Melayu supaya bersatu demi masa depan orang Melayu sebelum terlambat. Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Ibrahim Abu Shah telah menyampaikan ucapan yang cukup baik, berfakta akademik dan politik serta menjelaskan apa itu Fasal 153, Perlembagaan dan undang-undang serta cabaran terhadap orang Melayu. Banyak perkara dalam sejarah perjuangan Melayu hanya menjadi nostalgia dengan laungan Hidup Melayu, tetapi kampung sudah hampir tergadai.

2.Konvensyen, kongres, seminar, meja bulat dan simposium tentang Melayu dan Fasal 153 bukan perkara baharu. Ia sudah bertimbun sejak berdekad-dekad. Tajuk berubah. Logo bertukar. Penganjur silih berganti. Tetapi nasib orang Melayu tetap pi mai pi mai tang tu. Yang berubah cuma poster. Yang bertambah cuma emosi sementara. Natijahnya hampir tiada.

3.Orang Melayu tidak pernah kekurangan idea. Orang Melayu berkelulusan tinggi sudah ramai, tetapi yang kekurangan ialah keberanian untuk membayar harga perjuangan bangsa. Kita terlalu selesa bercakap tentang hak tanpa sanggup menanggung risiko. Kita terlalu ghairah berforum tentang ketuanan tanpa sanggup berdepan tekanan. Akhirnya, perjuangan bertukar menjadi acara, dan acara bertukar menjadi ritual kosong. Inilah realitinya.

4.Hari ini isu Melayu kembali dilaungkan dengan suara yang kuat. Tetapi jangan kita menipu diri sendiri. Ia bukan kerana hala tuju baharu ditemui. Ia kerana kuasa sudah terlepas. Ketika berkuasa, Melayu disuruh bersabar, berdiplomasi dan jangan bising. Ketika kuasa hilang, Melayu disuruh bangkit, bersatu dan berjuang. Ini bukan kebangkitan. Ini panik. Dan skrip ini diulang setiap kali sejarah berputar.

5.Hakikat yang pahit tetapi mesti diterima ialah perjuangan orang Melayu sudah lama memasuki alam perjuangan tanpa noktah. Hampir 70 tahun merdeka, persoalan asas bangsa masih tergantung. Tanah semakin mengecil. Ekonomi semakin terpinggir. Kuasa tawar-menawar semakin lemah. Tetapi pentas pidato semakin besar. Sejarah mengajar satu perkara yang ramai tidak suka dengar, ketika berkuasa, kuasa tidak digunakan untuk memartabatkan Melayu, tetapi ramai yang mengejar kemewahan diri, menyalahgunakan kuasa, rasuah dan nilai moral yang memalukan. Bangsa tidak diselamatkan oleh pidato, tetapi oleh kepimpinan yang bersih, berintegriti, amanah, berani dan tegas, sanggup berkorban demi bangsa, bukan kepimpinan yang pandai menjerit selepas hilang kuasa.

6.Saya menulis ini bukan sebagai pemerhati luar. Saya menulis sebagai orang yang telah lama berada di medan perjuangan. Saya mula mengharungi perjuangan kepentingan bangsa ketika menjadi pemimpin pelajar ITM bermula tahun 1972 sehingga sekarang. Ketika itu perjuangan bukan bermusim dan bukan alat politik. Tuntutan kami jelas iaitu pengiktirafan Diploma ITM setaraf ijazah, penaiktarafan ITM menjadi universiti, dengan slogan Bumiputra Bertindak, berbaju-T dan bertapak kaki sebagai langkah perjuangan anak pribumi di bumi sendiri.

7.Perjuangan itu tidak dibayar dengan pujian atau liputan media. Pada 22 April 1974, ratusan cedera, lebih seribu ditangkap, kampus ditawan dan ITM ditutup selama sebulan. Itulah harga perjuangan sebenar. Air mata mengalir kerana gas pemedih mata sepanjang perjalanan dari Shah Alam menuju Parlimen di Kuala Lumpur. Hanya sekitar 600 orang sahaja yang sampai di depan Parlimen daripada jumlah 6,000 pelajar ITM yang berjalan kaki bermula selepas Isyak dari kampus Shah Alam dan Jalan Othman, PJ, kehilangan kebebasan. Banyak kerosakan berlaku dan sejarah ini bukan untuk nostalgia. Bermula tahun 1972, akhirnya ITM menjadi UiTM pada tahun 1999 selepas 25 tahun berjuang. Sehingga kini, sudah hampir satu juta alumni UiTM. Kini UiTM menjadi universiti maya terbesar di Malaysia.
Al-Fatihah kepada Allahyarham Tun Arshad Ayub, Bapa ITM, yang merupakan contoh pejuang bangsa sebenar dan menjadi cermin kepada mereka yang hari ini gemar bercakap tentang perjuangan tetapi ramai bermain selamat dan takut risiko kerana jati diri sudah rosak akibat mengejar pangkat dan kemewahan.

8.Ringkas cerita, kesinambungan perjuangan bangsa diteruskan tanpa noktah dengan pelbagai liku. Atas kesedaran itulah PERKASA ditubuhkan pada tahun 2008. PERKASA diwujudkan sebagai wadah tekanan untuk memaksa isu Melayu dan Bumiputra kekal di tengah agenda nasional. Hampir satu dekad kita lihat pelbagai konvensyen, kongres dan meja bulat dianjurkan. Beratus resolusi diluluskan. Tetapi dari situ saya belajar satu kebenaran yang kejam: resolusi tanpa kuasa politik hanyalah fail arkib. Ia dibaca, dipuji, kemudian disimpan kecuali jika dipaksa menjadi dasar. Ketika berkuasa dan Taming Sari di tangan, ia tidak digunakan sepenuhnya untuk memperkasakan Melayu. Negara membangun, tetapi pribumi merintih di bumi sendiri, dan kini negara pula kehilangan kedaulatan kepada Amerika.

9.PERKASA juga selama tiga tahun berturut-turut meluluskan resolusi mendesak kerajaan mewujudkan Dana RM10 bilion setahun selama lima tahun bagi membiayai orang Melayu dan Bumiputra memiliki harta, rumah kedai di bandar dan desa, unit pejabat, malah kediaman pelbagai peringkat termasuk kondominium dan pangsapuri mewah dengan pembiayaan 100 peratus, di mana harta itu sendiri menjadi cagaran. Nilai harta tidak susut seperti kereta. Tetapi sebelum ini dasar pinjaman 100 peratus untuk membeli kereta dibolehkan dan nilainya jatuh setiap tahun, sehingga akhirnya ramai diisytiharkan muflis. Ini logik songsang yang saya suarakan berkali-kali dahulu.

10.Di Dewan Rakyat dan dalam Ucapan Dasar Presiden PERKASA, saya konsisten mendesak supaya Agenda Ekonomi Negara dalam setiap Rancangan Pembangunan Malaysia dan Belanjawan Tahunan menjadikan Agenda Bumiputra sebagai Dasar Induk, selaras dengan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan. Ini bukan cerita dongeng. Ia boleh disemak melalui Hansard Dewan Rakyat dan buku ucapan dasar Presiden PERKASA. Bersuara ketika ada sedikit kedudukan dan ketika ditekan, suara tetap sama dan konsisten.
Cadangan demi survival bangsa antaranya memastikan Tanah Rizab Melayu dikembalikan sejumlah 50% seperti wasiat Raja-Raja Melayu dan yang termaktub dalam Perlembagaan. Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan dengan dasar pendidikan satu aliran bahasa tanpa tolak ansur demi integriti nasional, biasiswa hak milik Melayu dan Bumiputra, lesen dan kuota adalah hak Melayu di bawah Fasal 153. Rakyat bukan Islam dan bukan Melayu menikmati pelbagai lesen judi, minuman keras, pusat hiburan dan macam-macam lagi yang jumlah putaran perniagaannya mencecah bilion setiap bulan. Islam agama Persekutuan tetapi kegiatan yang haram di sisi hukum syarak Islam dibenarkan. Umat Islam dan Bumiputra hanya bergantung kepada sumber peruntukan yang terhad walaupun pelbagai subsidi seperti curah air di daun keladi. Setakat MARA, Baitulmal dan lain-lain ibarat tahi telinga. Namun atas dasar kesamarataan, semua pinjaman TEKUN, Amanah Ikhtiar dan lain-lain diberi kepada semua kaum atas dasar membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Tetapi dalam bidang lain, ia tidak sama rata untuk Melayu dan Bumiputra. Melayu ketinggalan ekonomi begitu lama akibat penjajahan, merempat di bumi sendiri dan diharap menguasai 30% melalui DEB dalam jarak masa 30 tahun setelah ketinggalan beratus tahun di bawah penjajah. Panjang cerita untuk dikupas dan dibahas.

11.Apabila UMNO mula lumpuh dengan agenda Melayu, apabila slogan “menang sorak kampung tergadai” menjadi realiti, maka lahirlah PUTRA daripada tulang rusuk PERKASA. PUTRA bukan projek suka-suka. Ia bukan hobi politik. Ia lahir sebagai langkah terakhir untuk menyambung nafas perjuangan bangsa yang semakin layu, walaupun terpaksa berkayuh dengan lidi ketika saluran lama semakin layu dan hilang jati diri patriotisme.

12.Hari ini, setelah kuasa hilang dan lahirnya kerajaan baharu dengan konsep liberal, pluralisme dan penyertaan DAP, barulah ada yang menjerit kononnya Melayu makin hilang bumi sendiri. Siapa yang menjerit? Mereka yang menikmati kuasa sebelum ini. Hari ini ada parti Melayu bersekongkol dengan parti yang membawa matlamat bertentangan dengan Fasal 153. Mereka bersumpah Wallahi Wabillahi tetapi mereka melanggar sumpah dan berdusta kepada Allah demi menyelamatkan diri di atas pusara bangsa.

13.Saya tidak berniat menjadi hero harimau kertas. Tetapi izinkan saya mengangkat bakul sendiri. Saya ada kredibiliti sejarah untuk bercakap tentang Fasal 153. Saya tidak mengangkat keris kayu di pentas. Saya tidak bermain simbol tanpa isi. Semangat saya sebagai pejuang sebenar bangsa ialah Mat Kilau, Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar dan ramai lagi yang berjuang tanpa perlu konvensyen, kongres atau seminar. Al-Fatihah untuk mereka.

14.Sejarah tidak boleh ditipu dengan sepanduk, slogan atau tepukan. Ia akan menulis dengan jujur siapa yang benar-benar berjuang, siapa yang sanggup membayar harga, dan siapa yang sekadar pandai berlakon di pentas konvensyen.

15.Perjuangan bangsa tidak pernah kekurangan pentas. Yang sentiasa kurang ialah orang yang sanggup berdiri walaupun pentas runtuh.
Di situlah garis pemisah antara pejuang dan pelakon.

16.Konvensyen boleh diulang. Slogan boleh ditukar. Tetapi jika selepas ini orang Melayu masih disuruh bersabar, masih disuruh berlapik, masih disuruh tunggu, maka jangan salahkan sejarah jika ia menulis bahawa generasi ini bukan gagal berjuang, tetapi takut untuk melawan.

17.Bukan setakat Perdana Menteri mesti orang Melayu ditulis dalam Perlembagaan, tetapi persempadanan kawasan pilihan raya setiap lapan tahun sekali mesti dibuat berdasarkan jumlah penduduk mengikut kaum. Melayu dan Bumiputra merupakan 70% rakyat Malaysia, maka sepanjang masa kerusi milik Melayu dan Bumiputra kekal 70% mengikut kaum tanpa mengambil kira jumlah pengundi setiap kawasan. Walaupun jumlah pengundi bandar padat dan besar, kawasan luar bandar pula begitu luas dan lebih sukar untuk mengurus rakyat yang diwakili kerana prasarana yang masih sukar dan alam sekitar yang mencabar. Ini wajib dikemas kini dalam Perlembagaan selaras dengan Fasal 153.

*BERSATU DAN BERJUANGLAH MELAYU SEBELUM BUMI MELAYU MENJADI GAZA*

Salam Perjuangan,

*Dato’ Ibrahim Ali*
*Presiden Parti PUTRA*
*15 Disember 2025*

Related posts

Leave a Comment