Jangan buka aib pasangan di media sosial

PUTRAJAYA 15 Dis. – Media sosial tidak seharusnya menjadi tempat meluahkan masalah dihadapi pasangan masing-masing, sebaliknya menggunakan saluran sepatutnya untuk mencari jalan penyelesaian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Mohd Na’im Mokhtar, berkata, perbuatan membuka aib pasangan itu di media sosial, yang kemudian menerima pelbagai reaksi tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi.

Malahan ajaran Islam sendiri mendidik supaya semua umat Islam tidak mengaibkan sesama saudara seagama.

Beliau berkata, perilaku itu dilihat cenderung kepada individu yang mahu mendapatkan pengikut yang ramai di platform media sosial tanpa memikirkan kesannya.

“Islam mengajar kita kita tutup aib orang kerana jika kita menutup aib saudara kita, Allah akan menutup aib kita pada hari kiamat.

“Yang ini (menceritakan masalah di media sosial) membabitkan saudara, apatah lagi suami atau isteri, yang ada hubungan begitu rapat,” katanya selepas program Majlis Apresiasi Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kecenderungan pasangan umat Islam sejak akhir-akhir ini yang gemar menggunakan platform media sosial untuk menceritakan masalah rumah tangga termasuk perkara intim, bagi mendapatkan nasihat netizen.

Mohd Na’im berkata, pendekatan dakwah terutama melalui media sosial, diharap dapat mendidik masyarakat khususnya dalam kalangan pasangan untuk tidak menggunakan platform media sosial bagi mengaibkan pasangan masing-masing.

Related posts

Leave a Comment