Kerjasama BN-PH bukan UMNO-DAP

GOMBAK 15 Dis. – Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO tidak mempunyai sebarang hubungan langsung dengan DAP sebaliknya kerjasama dalam kerajaan ketika ini hanya melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN itu berkata kerjasama yang wujud perlu dilihat dari sudut gabungan ke gabungan bukan antara parti secara langsung.

“Oleh kerana MCA merupakan parti komponen dalam BN dan DAP pula adalah parti komponen dalam PH, maka asas utama kerjasama ini bukanlah parti ke parti tetapi gabungan ke gabungan.

“Perkara ini boleh diselesaikan dan kesefahaman dapat dicapai,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Lawatan Rasmi di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan MCA supaya parti-parti komponen BN tidak meneruskan kerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Menurut Ahmad Zahid , keutamaan ketika ini adalah rasionaliti politik khususnya berkaitan bila PRU akan diumumkan dan isu berhubung kerjasama tersebut akan diserahkan kepada kepemimpinan tertinggi BN dan PH untuk ditangani secara bersama.

Pada 7 Disember lalu, Perhimpunan Agung MCA meluluskan resolusi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada PRU-16.

Perwakilan turut bersetuju supaya MCA menentukan haluan sendiri sekiranya mana-mana komponen BN tetap berkeras untuk bekerjasama dengan DAP dengan alasan semangat gabungan BN sudah tidak lagi wujud.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid dilaporkan menyatakan bahawa BN merancang untuk meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU-16 meskipun terdapat desakan supaya gabungan itu bergerak secara solo.

Nnn

Related posts

Leave a Comment