Campak: Kematian turun, jangkitan naik

MOSCOW – Kes jangkitan campak menunjukkan trend meningkat walaupun kematian akibat penyakit itu di seluruh dunia menurun 88 peratus sejak 2000.

Menurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak itu bertambah, dengan tiga kali lebih banyak kes pada 2024 berbanding 2019.

Anggaran WHO menunjukkan 11 juta jangkitan pada 2024, hampir 800,000 lebih banyak daripada tahap sebelum pandemik pada 2019.

WHO berkata, usaha imunisasi global membawa kepada penurunan 88 peratus dalam kematian akibat campak antara 2000 dan 2024 dengan hampir 59 juta nyawa diselamatkan oleh vaksin campak sejak 2000.

Pada masa sama, kira-kira 95,000 orang meninggal dunia akibat campak pada 2024, kebanyakannya kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

Menurut WHO, walaupun angka ini antara yang terendah dicatatkan sejak 2000, setiap kematian akibat penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin yang sangat berkesan dan murah adalah tidak boleh diterima.

Pada 2024, kes campak meningkat 86 peratus di rantau Mediterranean Timur, 47 peratus di Eropah, dan 42 peratus di Asia Tenggara berbanding 2019.

Afrika, bagaimanapun, mencatat penurunan 40 peratus dalam kes dan 50 peratus dalam kematian, hasil kadar vaksinasi yang lebih baik.

Individu yang dijangkiti masih berdepan risiko serius jangka panjang seperti buta, radang paru-paru dan ensefalitis, yang menyebabkan otak bengkak dan potensi kerosakan otak.

WHO dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan 84 peratus kanak-kanak menerima dos pertama vaksin campak pada 2024, manakala hanya 76 peratus mendapat dos kedua.

Justeru WHO memberi amaran, pengurangan dana yang besar untuk program campak dan rubella boleh melebarkan jurang imuniti dan mencetuskan wabak baharu pada 2026.

Nnn.

Related posts

Leave a Comment