KUALA LUMPUR 9 Okt. – Kajian bagi melaksanakan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan melalui tiga fasa, mengambil kira kompleksiti dan cabaran dihadapi serta memastikan ia dibuat secara terperinci dan holistik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata kajian dilaksanakan dua pasukan iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal.
Katanya, kajian pasukan itu akan memastikan pengasingan itu dapat dilaksanakan tanpa sebarang pengaruh politik dan urusan undang-undang di bawah Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara telus.
Azalina berkata, bagi fasa pertama, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif sedang menjalankan kajian berdasarkan keterangan ke atas beberapa negara bagi meneliti dan merangka model paling sesuai dalam konteks Malaysia, dengan mengambil kira “shawcross principle” dan “doctrine of independent aloofness”.
Negara yang sedang dikaji mengamalkan sistem perundangan berasaskan demokrasi berparlimen, yang mengamalkan sistem adversarial dan mempunyai pelbagai struktur pentadbiran iaitu Persekutuan, Negeri, Kesatuan dan sebagainya.
Bagi fasa kedua, Azalina memaklumkan, Pasukan Petugas Khas Teknikal akan meneliti secara komprehensif mengenai implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan serta menyediakan Laporan Interim untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
“Implikasi kewangan yang terbabit bagi melaksanakan inisiatif ini adalah tertakluk kepada model yang akan dikenal pasti berdasarkan kajian berasaskan bukti? Ini meliputi kos bagi perjawatan sedia ada, perjawatan baharu, fasiliti (bangunan/senggara/utiliti), aset (kenderaan), perpustakaan dan teknologi maklumat.
“Justeru, adalah terlalu awal untuk menentukan implikasi kewangan yang spesifik pada peringkat ini, namun ini tidak akan menjadi satu kekangan bagi Kerajaan Perpaduan Madani untuk melaksanakan usaha reformasi ini,” katanya.
Fasa ketiga pula membabitkan sesi libat urus bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak serta pihak pemegang taruh lain.
Ini termasuk agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), selain Majlis Peguam Malaysia, Sabah Law Society, Advocates Association of Sarawak, ahli akademik, pakar rujuk Perlembagaan Persekutuan, yang akan diadakan Pasukan Petugas Khas Teknikal dalam masa terdekat.
Menjawab soalan tambahan Takiyuddin mengenai peruntukan yang akan digunakan bagi pelantikan Peguam Negara di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan selepas pengasingan peranan itu berkuat kuasa kelak dan sama ada Peguam Negara akan menjadi salah seorang ahli Kabinet ex-officio, Azalina menjelaskan, ia berdasarkan model yang akan dirujuk kerana setiap negara mempunyai cara pelaksanaan berbeza.
Beliau berkata, Ahli Yang Berhormat di kedua-dua belah pihak akan dibawa pada setiap perbincangan untuk menunjukkan komitmen kerajaan supaya pindaan ini akan dibuat secara tulus dan diberikan penekanan pada tata kelola supaya rakyat diutamakan.
