Hakim kurang, kes naik mendadak

TANJONG 27 Nov. – Kekurangan hakim dan peningkatan mendadak kes,menjadikan institusi kehakiman berdepan cabaran semakin besar yang memaksa pelaksanaan beberapa langkah konkrit bagi mengurangkan tempoh menunggu yang panjang.

Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata susulan itu, beberapa langkah konkrit dilaksanakan.

Beliau berkata, isu tersebut adalah serius malahan ada seorang hakim di Johor Bahru kini mengendalikan kira-kira 800 kes aktif iaitu lebih tiga kali ganda daripada beban kerja munasabah.

“Adalah mustahil daripada segi kemampuan manusia untuk seorang hakim mendengar 800 kes. Beban kerja munasabah sepatutnya sekitar 200 hingga 250 kes.

“Kita tahu apa punca masalah dan sedang menanganinya,” katanya kepada media selepas pelancaran Persidangan Mahkamah Rayuan Secara Litar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan situasi yang berlaku mengakibatkan kelewatan ketara, termasuk beberapa kes yang memakan masa bertahun-tahun, namun masih belum dapat diselesaikan.

Bagi menangani peningkatan permintaan, Wan Ahmad Farid berkata, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman juga kini meneliti pelantikan tambahan hakim serta pesuruhjaya kehakiman.

Bagaimanapun, tegas beliau, penambahan kakitangan semata-mata bukan penyelesaian tuntas bagi isu itu.

“Kita tak mahu apa yang kita buat sekarang ini lebih kepada ‘firefighting’. Lantik lebih ramai tenaga kerja memang membantu, tetapi ia bukan satu-satunya penyelesaian.

“Kita ada beberapa usaha lain yang sedang berjalan untuk mengurangkan beban kerja, termasuk peluasan mediasi dan kaedah penyelesaian alternatif,” katanya.

Persidangan Mahkamah Rayuan secara litar selama seminggu di Pulau Pinang kali ini adalah antara usaha menyelesaikan kes lama, namun jumlah kes yang berjaya diselesaikan hanya akan diketahui selepas sesi berakhir, pada Jumaat.

Di Sabah dan Sarawak, badan kehakiman merancang untuk memperluas pelaksanaan sesi litar berbanding kaedah kehakiman tradisional di Kuching dan Kota Kinabalu.

Lokasi baharu yang sedang dipertimbangkan termasuk Miri dan Sandakan, bagi memastikan perkhidmatan dapat disampaikan kepada komuniti luar bandar yang berdepan kesukaran mengakses mahkamah.

(Foto hiasan ketika Wan Ahmad Farid melawat kompleks mahkamah Pulau Pinang)

Related posts

Leave a Comment