e.MAS7 kereta rasmi Kepengerusian ASEAN 2025

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan secara rasmi kenderaan elektrik (EV) pertama, e.MAS7 yang juga akan menjadi kenderaan rasmi ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melancarkan kenderaan itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, .

“Untuk ASEAN tahun depan, e.MAS7 akan jadi kenderaan rasmi kita. Kita mahu dan harapkan ia dapat mempromosi kemampuan kita menghasilkan kereta elektrik bermutu,” katanya yang turut bersyukur dengan kejayaan itu.

Beliau turut mengimbas kembali pasang surut yang perlu ditempuh Proton sebelum ini dengan menyifatkan kejayaan hari ini hasil pengajaran yang telah diperbaiki.

“Seperti mana saya pernah katakan dulu bahawa Proton ada sejarah gemilang. Ia diasaskan semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri (keempat), ada pasang surut yang mencabar.

“Namun pengajaran kita peroleh ialah kita harus akui bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk beri bantuan dan kerjasama, tidak masuk campur dan bebaskan mereka dengan penyelidikan, latihan dan tatakelola ke tahap lebih baik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) adalah contoh yang membuktikan Malaysia sebagai negara perdagangan bebas.

Perdana Menteri berkata, kerjasama syarikat multinational negara dan firma automotif terkemuka China berlandaskan ekonomi berteknologi tinggi yang menyediakan produk bernilai tinggi untuk rantau ini dan seluruh dunia.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan berhasrat agar kerjasama ini terus menyokong ekonomi dan rakyat Malaysia. Kerajaan akan terus menyokong kerjasama seumpama ini kerana memberi impak positif kepada ekonomi negara,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, adalah hasrat kerajaan agar PROTON dan rakan strategiknya, Geely, terus memimpin pembangunan kecekapan automotif dan ekosistem Malaysia.

“Saya yakin dengan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak, lebih ramai vendor tempatan akan terbabit dalam pengeluaran bukan sahaja kereta Proton, tetapi juga jenama lain.

“Ini akan menjadi contoh cemerlang peluang rangkaian dan kerjasama ekonomi yang telah wujud antara China dan Malaysia selama lebih 50 tahun. Saya memuji kedua-dua pihak atas kreativiti dan ketekunan mereka dalam menjayakan kerjasama ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, dalam sektor automotif, Malaysia memiliki Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon untuk mengurangkan pelepasan daripada sektor pengangkutan, yang kini menjadi penyumbang kedua terbesar karbon dioksida.

“Justeru, pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) EV pertama PROTON hari ini sangat tepat pada masanya kerana ia akan menjadi pemangkin untuk membawa kita ke era seterusnya dalam mobiliti rendah karbon,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment