ART: 3 wakil rakyat PKR kemuka 5 cadangan

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Tiga ahli Parlimen PKR menggesa kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua perkara berkaitan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa sangat berat sebelah.

Saranan itu adalah antara lima cadangan yang digariskan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Chen berkata, setelah penelitian dan perbincangan mendalam dibuat, mereka melihat perjanjian itu memihak kepada AS lebih-lebih lagi dakwanya Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dalam satu forum awam menyatakan bahawa negara dipaksa ‘berunding’ dengan AS.

“Kami yakin berdasarkan maklum balas rasmi dan kekurangan kejelasan teks perjanjian, pemeteraian perjanjian ini telah dibuat tanpa analisis kos faedah yang komprehensif dan tanpa konsultasi awam yang mencukupi.

Berhubung persoalan politik sama ada Malaysia menyerahkan kedaulatannya melalui perjanjian ini, kami yakin bahawa beberapa artikel (perjanjian) khususnya tetapi tidak terhad kepada Artikel 5.1, 5.2 dan 5.3, sekiranya dikuatkuasakan oleh AS dan dipatuhi Malaysia, akan mengehadkan serta menyekat hak kedaulatan negara,” katanya ketika membacakan kenyataan bersama itu kepada media di Dewan Rakyat di sini.

Menurut Chen, mereka khuatir terdapat kesan negatif langsung atau tidak langsung daripada perjanjian itu terhadap negara termasuk kepada imbangan perdagangan, implikasi fiskal dan aliran keluar pelaburan.

“Kami juga bimbang bahawa perjanjian ini boleh menjejaskan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada serta perjanjian komersial sedia ada dengan negara ketiga.

“Tetapi kami juga mengakui bahawa terdapat beberapa kesan positif daripada perjanjian ini berkaitan perdagangan digital, semikonduktor dan farmaseutikal,” katanya.

Lima cadangan berkenaan adalah :

1. Kami menyokong sepenuhnya komitmen Kerajaan Madani terhadap tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti. Oleh itu, bagi membuktikan kesungguhan tersebut, kami menggesa Kerajaan Madani untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membentuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (“RCI”) untuk menyiasat semua perkara berkaitan penandatanganan Perjanjian ini, khususnya mengenai perkara bahawa Malaysia telah “dipaksa” untuk berunding. Kami juga menginginkan penjelasan mengapa Malaysia memilih sebuah Perjanjian dan bukan sekadar MOU atau Kerangka. Kami percaya bahawa RCI akan membantu memulihkan dan meningkatkan akauntabiliti awam dalam isu kontroversi ini. RCI juga wajar ditugaskan untuk mencadangkan struktur tadbir urus yang lebih kukuh, mekanisme konsultasi awal, serta semak dan imbang dengan tujuan memperbaiki proses perundingan perdagangan pada masa hadapan.

2. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk melantik peguam perdagangan antarabangsa serta pakar luar yang berwibawa untuk:

(a) memulakan proses pindaan terhadap artikel Perjanjian yang lebih membebankan dari segi kedaulatan negara;

(b) menjelaskan dan memberi nasihat mengenai semua artikel berkaitan takrifan, skop, tanggungjawab dan penguatkuasaan Perjanjian; dan

(c) menjalankan kajian matriks perundangan terhadap potensi kesan akses pasaran daripada Perjanjian ini terhadap FTA sedia ada dan perjanjian pelbagai hala termasuk tetapi tidak terhad kepada Regional Comprehensive Economic Partnership (“RCEP”), Comprehensive and Progressive Agreement for the Trans-Pacific Partnership (“CPTPP”) dan European Free Trade Association (“EFTA”).

3. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk mewujudkan satu pasukan khas yang terdiri daripada pakar perdagangan antarabangsa termasuk ahli ekonomi bagi menjalankan analisis kos-faedah komprehensif ke atas Perjanjian ini untuk mengkaji dan mengunjurkan kesan terhadap termasuk tetapi tidak terhad kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia, akses pasaran, imbangan dagangan, kebimbangan mengenai pengaliran keluar mata wang, dan aliran pelaburan antara Amerika Syarikat dan Malaysia serta melaporkan perkara yang sama kepada Parlimen.

4. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk mewujudkan satu pasukan penasihat dasar luar pada peringkat tinggi berhubung kesan dan implikasi geopolitik daripada Perjanjian ini terhadap dasar luar dan dasar perdagangan antarabangsa Malaysia berhubung tetapi tidak terhad kepada BRICS, Association of Southeast Asian Nations (“ASEAN”), Organisation of Islamic Cooperation (“OIC”) dan Negara-Negara Selatan Global (“Global South”) serta melaporkan perkara tersebut kepada Parlimen.

5. Kami menggesa MITI untuk menubuhkan satu bahagian khas bagi menyelaras dengan kementerian-kementerian lain untuk memberikan maklumat terkini, menjawab pertanyaan dan berinteraksi dengan para pelabur serta pemimpin industri mengenai perkara yang berkaitan tetapi tidak terhad kepada akses pasaran, reaktor nuklear, mineral kritikal, keselamatan bio, peranti perubatan, farmaseutikal, tenaga kerja, alam sekitar dan perdagangan digital yang berkaitan dengan Perjanjian ini.

13 NOVEMBER 2025

Wong Chen

Ahli Parlimen Subang

Nik Nazmi

Ahli Parlimen Setiawangsa

Rafizi Ramli

Ahli Parlimen Pandan

Related posts

Leave a Comment