KUALA LUMPUR 13 Nov. – Tempoh pelantikan Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan setahun lebih awal daripada 14 Ogos 2026 kepada 14 November 2025.
Keputusan itu diambil bagi memberi ruang kepada beliau untuk menyumbang kepakaran dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) gergasi nasional yang diberi tanggungjawab membangunkan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, berkata, perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Keputusan ini mengambil kira keperluan perkhidmatan dan kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari, terutama ketika menerajui UN-Habitat sebagai Pengerusi Eksekutif,” katanya.
Shamsul Azri berkata, sepanjang menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Maimunah berjaya memperkukuh tadbir urus integriti dan kecekapan oragnisasai termasuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan bandar raya.
Justeru, kerajaan yakin penempatan baharu Maimunah dalam GLC nasional bakal memastikan projek mercu tanda Bandaraya Kuala Lumpur dapat direalisasikan dengan sempurna selaras aspirasi Malaysia Madani bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Maimunah atas segala jasa, bakti dan legasi unggul yang dicipta dalam membawa nama DBKL ke satu tahap amat membanggakan.
“Tahniah juga diucapkan dan selamat maju jaya di atas pelantikan baharu di GLC. Teruskan momentum kecemerlangan untuk mengemudi organisasi baharu berteraskan nilai dan prinsip MADANI untuk manfaat rakyat serta negara,” katanya.
Maimunah, 64, dilantik sebagai Datuk Bandar wanita pertama Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024, menggantikan Datuk Kamarulzaman Salleh yang bersara wajib.
Sebelum itu, beliau berkhidmat selama enam tahun sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat di Nairobi, sekali gus menjadikannya wanita Asia pertama memegang jawatan itu.
Beliau juga pernah mengetuai Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai, selain pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia
Sementara itu, Shamsul Azri memaklumkan DBKL mencatat lebihan semasa RM27.6 juta tahun lalu, berbanding defisit RM75.3 juta pada 2023 dan RM283 juta pada 2022.
Menurutnya, kejayaan itu mencatatkan lonjakan sebanyak 137 peratus, sekali gus mencerminkan kepemimpinan transformasi Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Selain itu, Maimunah turut meletakkan Kuala Lumpur di pentas antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan UNICEF bagi Program Cash Plus dan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak.
Maimunah juga, katanya berjaya menganjurkan beberapa forum utama ASEAN seperti Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) 2025.
Maimunah turut memperkenalkan pelbagai program hijau dan mampan termasuk Inisiatif Sifar Sisa, Inisiatif Lingkaran Hijau dan Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP) bagi memperkukuh komitmen menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar karbon sifar dan berdaya tahan iklim.
Atas kepimpinan dan kecemerlangan itu, Maimunah menerima pelbagai anugerah berprestij dalam dan luar negara antaranya Anugerah Kepimpinan PCRA 2024, Nona Superwoman Award 2024; Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik (Bandaraya); Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2025 serta Women of the Decade Award sempena Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025.
Kemuncaknya, Maimunah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepemimpinan 2025 daripada Fira de Barcelona di Ekspo Bandar Pintar Dunia 2025.
Nnn
