Kadar jangkitan remaja tinggi

LONDON: Kadar jangkitan Covid-19 adalah tertinggi dalam kalangan remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun dan hampir kesemua kanak-kanak yang belum divaksin akhirnya akan terjangkit, kata Ketua Pegawai Perubatan England Chris Whitty.

“Hakikatnya terdapat jangkitan ketara yang berlaku dalam kalangan golongan usia ini. Malah, kumpulan usia yang kita sebutkan ini adalah kadar penularan jangkitan tertinggi yang sedang berlaku,” katanya.

Justeru semua remaja  dalam lingkungan usia 12 hingga 15 tahun di England akan ditawarkan vaksin Covid-19.

Britain melaporkan 34,460 kes baru Covid-19 pada Rabu, dengan kadar purata lebih 20,000 kes baru setiap hari sejak lewat Jun.

Whitty berkata nasihat vaksin itu adalah untuk manfaat kanak-kanak semata-mata. Ia tidak dibuat atas sebab politik mahupun demi kepentingan golongan dewasa yang lebih terdedah kepada bahaya.

“Sebahagian besar kanak-kanak yang sekarang ini belum dijangkiti Covid-19 akan dijangkitinya pada satu masa nanti,” katanya.

Katanya, ia tidak semestinya dalam masa dua atau tiga bulan akan datang, namun mereka akan dijangkiti lambat laun kerana ia sangat mudah berjangkit dan kerana kekebalan akan merosot.

“Kita tidak akan melihat keadaan di mana (jangkitan) akan terhenti dengan sendirinya pada satu masa tertentu,” katanya sambil menekankan vaksin akan mengurangkan risiko jangkitan sebanyak sekurang-kurangnya 50 peratus.

Varian Delta yang sangat mudah berjangkit kini dominan di Britain. Ia membuat para pegawai kesihatan di seluruh dunia menilai semula bagaimana pandemik ini ditangani, terutamanya dari segi kesan vaksin terhadap penularan jangkitan.

Related posts

Leave a Comment