Sejarah tercipta penyertaan Timor-Leste

KUALA LUMPUR 26 Okt . – “Hari ini, sejarah tercipta. Timor-Leste diterima sebagai negara anggota ASEAN ke-11,”, kata Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão.

Beliau menyifatkan penyertaan negara itu ke dalam ASEAN bukan sahaja sebagai impian yang direalisasikan dan penegasan kukuh terhadap perjalanan rakyatnya yang ditempuhi dengan ketabahan, keazaman dan harapan.

Berucap pada majlis menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini, Gusmão berkata, pencapaian itu juga mengesahkan visi ASEAN sebagai sebuah keluarga negara yang benar-benar bersatu yang terikat dengan nilai dan aspirasi bersama serta masa depan yang dibina secara kolektif.

“Bagi ASEAN, ia adalah penerusan visi, sebuah keluarga negara yang benar-benar bersatu, diikat bersama oleh nilai bersama, aspirasi bersama dan masa depan yang dibina secara kolektif,” katanya

Gusmão menzahirkan rasa terima kasih yang mendalam kepada semua negara anggota ASEAN, Pengerusi ASEAN dan Sekretariat ASEAN atas kepercayaan, galakan dan solidariti yang tidak berbelah-bahagi sepanjang perjalanan panjang bagi mencapai matlamat Timor-Leste untuk menjadi anggota blok itu.

Beliau berkata, pihaknya memohon keanggotaan ASEAN sejak 2011 dan menyediakan institusi, memperbaharui dasar serta mengukuhkan kesediaan mereka berpandukan kebijaksanaan, sokongan dan kesabaran ASEAN bersama rakan kongsinya

“Penyertaan Timor-Leste adalah bukti semangat rakyatnya, demokrasi muda, lahir daripada perjuangan, kini mengharungi era baharu kerjasama dan pertumbuhan dalam satu daripada rantau paling dinamik di dunia.

“Timor-Leste menyertai ASEAN dengan merendah diri dan rasa bangga, mendakap sepenuhnya nilai teras blok itu iaitu saling menghormati, kerjasama aman, perpaduan dalam kepelbagaian dan perpaduan serantau,” katanya.

Beliau berkata, Timor-Leste memasuki ASEAN dengan komitmen penuh terhadap piagamnya, bersedia untuk menjadi ahli yang membina, aman dan berbakti.

“Kami berjanji bekerjasama dengan semua negara anggota untuk memastikan rantau kita aman, terbuka dan makmur, dan menjadi sebahagian daripada usaha membina daya tahan, memperkukuh perpaduan dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan,” katanya sambil menambah keahlian ASEAN membawa prospek besar dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan ekonomi digital.

Gusmão berkata, pihaknya bersedia belajar, berinovasi dan mengamalkan tadbir urus baik, selain mengukuhkan institusi untuk bersama-sama menuju ke arah pembangunan mampan.

Beliau menekankan perjalanan ASEAN negara itu bukanlah penamat, sebaliknya suatu permulaan lembaran baharu.

“Bersama-sama, kita akan memajukan Visi Komuniti ASEAN 2045 iaitu ASEAN yang aman, makmur, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat, dengan Timor-Leste sebagai penyumbang aktif,” katanya.

Related posts

Leave a Comment