Perjanjian damai ditandatangani

KUALA LUMPUR 26 Okt . – Thailand dan Kemboja hari ini menandatangani perjanjian damai menamatkan pertelingkahan dan memulihkan keamanan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara itu.

“Delivering Peace – Cambodia-Thailand Peace Deal”, itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Pemeteraian itu disaksikan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Perjanjian damai berkenaan mengukuhkan persetujuan gencatan senjata yang dicapai Julai lepas, susulan rundingan antara Thailand dan Kemboja serta mengesahkan penubuhan pasukan pemerhati ASEAN (AOT) bagi memantau pematuhan dan mencegah berlakunya semula pertempuran di zon sempadan.

Perjanjian damai berkenaan menandakan detik penting dalam diplomasi serantau ASEAN, mencerminkan komitmen blok serantau itu terhadap pencegahan konflik, kestabilan dan kerjasama selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Thailand dan Kemboja telah lama terjebak dalam konflik mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas, yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.

Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara.

Perjanjian damai itu, yang dianggap sebagai pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada merebak dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.

Semalam, Menteri Luar Mohamad Hasan berkata pengunduran senjata berat oleh Thailand dan Kemboja dari kawasan sempadan serta pemindahan dan pemusnahan bahan letupan atau periuk api antara perkara utama perjanjian damai antara kedua-dua negara itu.

Beliau berkata perjanjian terbabit turut melibatkan penubuhan AOT di kawasan sempadan yang bergolak.

Perjanjian berkenaan katanya bertujuan mengekalkan gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak Julai lepas, susulan kedua-dua Perdana Menteri Kemboja dan Thailand ketika itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata.

Mohamad berkata ASEAN turut berharap gencatan senjata berkenaan akan berkekalan dan menyeru kedua-dua negara meneruskan rundingan serta mencari penyelesaian secara aman bagi isu persempadanan mereka.

Nnn

Related posts

Leave a Comment