RTM silap sebut nama tiga pemimpin

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf atas kesilapan pengulas siaran yang tersilap menyebut nama Presiden Indonesia, Perdana Menteri Singapura serta Perdana Menteri Thailand ketika siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini.

Menurut kenyataan rasmi RTM, siasatan dalaman mendapati terdapat kesilapan oleh pengulas siaran yang menyebut nama Presiden Republik Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan pemimpin yang terkini ialah Prabowo Subianto.

“RTM memandang serius perkara ini dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap individu terbabit.Kami dengan ini, memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia, serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini,” kata kenyataan itu.

Menurut RTM, langkah penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan ketepatan maklumat dalam setiap siaran.

“RTM akan memperkukuh kawalan editorial serta semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah tepat dan berintegriti,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan lain, jabatan itu juga memohon maaf apabila pengulas siaran sidang kemuncak itu menyebut nama Perdana Menteri Thailand sebagai Srettha Thavisin bukannya yang terkini Anutin Charnvirakul.

“RTM dengan ini memohon maaf kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Thailand serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan itu.

Dalam satu lagi kenyataan, RTM menjelaskan, hasil siasatan dalaman mendapati berlaku kesilapan oleh pengulas yang menyebut nama Perdana Menteri Singapura sebagai Lee Hsien Loong, sedangkan yang terkini ialah Lawrence Wong.

“RTM memandang serius perkara ini dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap individu terlibat,” menurut kenyataan itu.

Pihak RTM turut menyampaikan permohonan maaf kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Singapura, serta semua pihak yang terkesan akibat insiden berkenaan.

Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, RTM menegaskan komitmen untuk meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta dalam setiap liputan serta memastikan semua maklumat yang disiarkan adalah tepat dan berintegriti.

Nnn

Related posts

Leave a Comment