Trump label Petro ‘ketua dadah haram’

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melabelkan Presiden Colombia, Gustavo Petro, sebagai ‘ketua dadah haram’ yang menggalakkan pengeluaran dadah secara besar-besaran di seluruh negara.

Menerusi platform media sosial miliknya, Truth Social.Trump berkata, tujuan pengeluaran ini adalah untuk menjual sejumlah besar dadah ke AS, yang menyebabkan kematian, kemusnahan dan huru-hara.

Susulan itu, beliau mengumumkan mengumumkan semua bentuk bayaran serta subsidi berskala besar kepada negara Amerika Selatan itu akan dihentikan.

Colombia antara penerima bantuan terbesar AS di Hemisfera Barat, namun aliran dana itu dihentikan secara mengejut tahun ini selepas penutupan agensi bantuan kemanusiaan kerajaan AS, USAID.

Hubungan antara Bogota dan Washington dilaporkan semakin tegang sejak Trump kembali ke White House.

Senator Republikan, Lindsey Graham, yang juga sekutu rapat Trump, berkata beliau akan mengumumkan ‘tarif besar-besaran’ terhadap negara itu dalam masa terdekat.

Ketika ini, kebanyakan import dari Colombia dikenakan tarif sebanyak 10 peratus ke AS, kadar asas yang turut dikenakan ke atas banyak negara lain.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Colombia dalam satu kenyataan mengutuk kenyataan Trump, menyifatkannya sebagai penghinaan dan ancaman langsung terhadap kedaulatan negara itu, serta berikrar akan mendapatkan sokongan antarabangsa untuk mempertahanka Petro dan autonomi negaranya.

“Tuduhan ini adalah tindakan yang amat serius dan mencabul maruah Presiden rakyat Colombia,” menurut kenyataan itu.

Bulan lalu, AS dilapor membatalkan visa Petro selepas beliau menyertai demonstrasi pro-Palestin di New York dan menggesa tentera AS agar tidak mematuhi arahan Trump.

Selain itu, tindakan serangan maut AS ke atas kapal-kapal di Caribbean turut mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Colombia di mana ramai pakar undang-undang dan aktivis hak asasi manusia mengutuk tindakan ketenteraan itu.

Awal bulan ini, Petro berkata, satu daripada serangan mengenai kapal milik warga Colombia, yang dinafikan pentadbiran Trump.

Petro mengutuk pengeboman terkini, dengan menyatakan kapal yang dimusnahkan itu adalah milik sebuah ‘keluarga miskin’ dan bukan milik kumpulan ELN serta membidas kenyataan Trump di platform X.

“Tuan Trump, Colombia tidak pernah berlaku biadab terhadap AS… tetapi anda biadab dan jahil terhadap Colombia,” katanya di platform X sambil menegaskan beliau bukan ahli perniagaan, apatah lagi pengedar dadah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment