ISTANBUL – Israel didakwa terus melanggar gencatan senjata apabila tenteranya melakukan serangan menyebabkan sekurang-kurangnya 97 rakyat Palestin terbunuh manakala 230 lagi cedera akibat serangan tentera Israel sejak gencatan senjata dikuatkuasakan di Semenanjung Gaza pada 10 Oktober lalu.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, “tentera pendudukan Israel sudah melakukan 80 pelanggaran yang didokumenkan sejak pengisytiharan gencatan senjata, 10 Oktober lalu termasuk 21 pelanggaran yang direkodkan semalam.
Pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, berkenaan termasuk tembakan secara langsung ke arah orang awam, serangan artileri, serangan secara sengaja serta penangkapan orang awam.
Tentera Israel turut menggunakan kenderaan tentera, kereta kebal yang diletakkan di pinggir kawasan kediaman, kren elektronik yang dilengkapi dengan sistem penyasaran jarak jauh, selain pesawat pejuang dan dron quadcopter untuk melancarkan serangan.
Pelanggaran ini direkodkan di semua wilayah di Semenanjung Gaza tanpa pengecualian, sekali gus mengesahkan bahawa rejim Israel tidak mematuhi gencatan senjata dan terus melaksanakan dasar pembunuhan serta keganasan terhadap rakyat Palestin.
Kerajaan Gaza menganggap tentera Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelanggaran itu dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pihak penjamin perjanjian berkenaan supaya segera campur tangan bagi menghentikan pelanggaran berkenaan.
Perjanjian gencatan senjata antara kumpulan Palestin Hamas dan Israel, merangkumi pengunduran tentera Israel secara berperingkat, pertukaran tahanan secara bersama, kemasukan segera bantuan kemanusiaan, serta pelucutan senjata Hamas.
Gencatan senjata itu menamatkan konflik selama dua tahun yang mengorbankan lebih 68,000 rakyat Palestin, mencederakan kira-kira 170,000 orang dan memusnahkan sebahagian besar infrastruktur Gaza.
Sementara itu, kenyataan tentera Israel mengumumkan bahawa gencatan senjata dan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza akan disambung semula bermula hari ini, susulan tekanan diplomatik dari Amerika Syarikat (AS).
Seorang pegawai keselamatan Israel memaklumkan bahawa bantuan kemanusiaan akan mula memasuki Gaza semula hari ini, selepas dihentikan sementara sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh Hamas.
Trak bantuan dari Program Makanan Sedunia (WFP) dilaporkan sudah bersiap sedia di sempadan Khan Younis untuk penghantaran segera.
Nnnn
