KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M dan pada masa sama tidak lagi membenarkan Tabung Haji (TH) membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata, untuk memperoleh visa, jemaah bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.
Katanya, jemaah tidak dianggap layak untuk mengerjakan ibadat haji sekiranya mengalami kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius dan penyakit paru-paru kronik.
“Syarat yang wajib dipatuhi bakal jemaah ialah mereka tidak mempunyai penyakit hati kronik, masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif atau motor, warga emas dengan dementia atau fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif dan penyakit kanser yang sedang dalam rawatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengenai tiada lagi pusat rawatan, beliau berkata jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi dengan bantuan pemantauan rapi pakar-pakar perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“TH juga telah merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu. TH dengan kerjasama KKM menyediakan 225 petugas kesihatan pada musim haji 1447H/2026M,” katanya.
Beliau berkata, keperluan tahap kesihatan yang baik adalah salah satu syarat kemampuan mengerjakan haji (istito’ah) yang sentiasa ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.
“Seperti mana syarat menerima tawaran haji sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan pihak KKM,” katanya.
Dalam pada itu, Mustakim berkata, TH akan terus memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik bagi setiap jemaah haji negara.
“Jemaah haji juga perlu membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya kerana mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang lama dan melalui suasana berdebu dan cuaca yang panas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, TH sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah sebagai teras dalam pengurusan operasi haji setiap tahun.
Beliau berkata, TH sememangnya memandang serius dan mengutamakan aspek kesihatan jemaah terutama ketika berada di Tanah Suci dan atas dasar itu setiap tahun TH memperuntukkan sebahagian besar alokasi petugas Tanah Suci kepada petugas perubatan daripada KKM.
“Bagi musim haji 1447H/2026M, TH masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah Haji di Makkah dan Madinah.
“Setiap bangunan akan dilengkapi dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendali petugas kesihatan bertauliah dari KKM bagi kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah haji negara termasuk pengiring kepada jemaah warga emas dan kelainan upaya,” katanya.
Nnnn
