Azmin bukan ‘kaleng-kaleng’

KETIKA di sana di sini tersebar berita anggota parti meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), untuk mengikut jejak Pejuang berjuang bersama Dr. Mahathir Mohamad, parti ‘bunga’ itu  terus mengatur langkah dengan penuh bergaya. Apalah sangat cerita anggotanya mengisytiharkan keluar parti.

Kata orang tidak menjadi kudis, satu pergi 10 yang datang. Berapa ramai yang sudah pergi meninggalkan Bersatu? Berapa pula yang ‘mengetuk’ pintu Bersatu? Bukan 10, bukan 100, bukan 1,000 dan bukan 100,000 tetapi ‘sekali petik’ yang datang kepada Bersatu adalah 200,000. Itu janji Mohamed Azmin Ali.

Dalam diam, Azmin telah menyusun strategi sebelum meninggalkan PKR dengan jawatan No. 2 iaitu Timbalan Presiden. Strateginya tidak silap. Berbekalkan 10 anggota Parlimen PKR, keputusannya meninggalkan PKR bukan satu kesilapan malahan beliau mendapat kedudukan sebagai menteri kanan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan (mungkin realiti sebenar), kedudukan Azmin yang juga Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) adalah orang No.2 dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). Cuma tidak digunakan Timbalan Perdana Menteri, mungkin bimbang ada yang ‘mengamuk dan melatah’.

Dan kepercayaan yang diberi kepada Azmin oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin tidak sia-sia apabila semalam, 22 Ogos, menjelang Perhimpunan Bersatu hari ini beliau mengisytiharkan penyertaan bersama lebih 200,000 ahli Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara ke dalam Bersatu.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi memacu perpaduan negara dan menjamin kestabilan politik Malaysia itu sebahagian besarnya dianggotai serpihan PKR dan diterajui kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai G10.

Justeru apa ada hal dengan 200 orang yang keluar Bersatu?

Jelaslah hari ini Bersatu semakin ‘membesar’ dengan kehadiran apa yang digelar ‘pengkhianat’ atau ‘katak’ sama ada mereka yang datang dari PKR atau UMNO.

Dalam politik, pedulikan apa orang gelar dan apa orang kata asalkan matlamat tercapai. Yang penting kita jaga kita. Kita untuk kita.

Antara bekas ahli PKR dalam G10 ialah Azmin Ali; dua bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju; Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Mohd Rashid Hasnon (Ahli Parlimen Batu Pahat), Dr Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat), Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo) serta Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak).

Azmin ketika mengumumkan keputusan menyertai Bersatu berkata, ahli Penggerak Komuniti Negara akan sentiasa menjadi benteng dan menyokong kepemimpinan Muhyiddin. Menariknya, satu peringatan kepada parti-parti politik di negara ini bahawa pasukannya sudah bersedia turun di gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pasukannya bersedia ditempatkan di 222 kerusi Parlimen dan lebih 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai calon pada PRU-15. Satu persediaan cukup rapi.

“Keberadaan kami di 222 Parlimen adalah bukti kami sudah bersedia untuk memperkukuhkan Bersatu demi kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Datanglah ombak, kamilah benteng. Datanglah petualang, kamilah laksamana. Petang keramat ini, saya dan ketumbukan dari Perlis ke Sabah, isytihar menyertai Bersatu” katanya semalam..

Azmin juga sudah pasti mempunyai pengikut-pengikutnya di dalam PKR yang masih bersikap tunggu dan lihat perkembangan seterusnya. Begitu juga bagi pengikut atau penyokong bekas anggota Parlimen PKR yang lain. Maka tidak hairanlah keanggotaan parti Bersatu dijangka melonjak.

Bagi kebanyakan orang, pendirian politik boleh berubah-ubah mengikut selera. Ada yang kata umpama lalang atau bagaikan semut mencari gula.

Azmin mengambil pendekatan yang bijak. Dalam diam Azmin susun strategi. Diam-diam ubi. Tidak perlu bagi Azmin menubuhkan parti baharu yang akan menambah jumlah parti politik Melayu. Cukuplah dengan membantu parti politik yang ada dan pilihannya adalah Bersatu.

Benarlah kata sahabat saya, mantan wartawan dari Johor juga orang Johor, mengenai Azmin. Katanya “Azmin ni bukan kaleng-kaleng, Anwar Ibrahim dan Rafizi pun ditewaskannya,”.

Related posts

Leave a Comment