Kuasai media sosial hadapi kempen pilihan raya

KOTA KINABALU 19 Okt. – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak boleh membiarkan Sabah kembali ke tangan mereka yang gagal mentadbir, sebaliknya hanya berpolitik atas dasar dendam dan kepentingan peribadi.

Justeru, Ketua Menteri Sabah,  Hajiji Noor, mengingatkan jentera pilihan raya GRS untuk menjadi penyampai maklumat yang tepat bagi menangkis tohmahan dan fitnah pihak lawan.

Pengerusi GRS itu bagaimanapun yakin rakyat negeri ini bijak menilai siapa yang mampu mentadbir dengan baik dan pihak mana yang hanya menabur janji politik dan retorik bagi memenangi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17).

“Berhentilah menjaja ubat yang mengkhayalkan rakyat, jangan seperti dukun politik, banyak jampi tapi tiada sembuhnya,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Beliau mendakwa pembangkang tidak pernah berhenti menabur fitnah dan mencipta pelbagai naratif palsu dan menjadikan media sosial sebagai senjata utama kononnya GRS gagal mentadbir.

Hajiji berkata dengan kemajuan teknologi digital dan telekomunikasi, pelbagai dakyah dan fitnah kini mudah disebar melalui media sosial menjadikan kempen pilihan raya lebih mencabar.

Katanya, situasi itu perlu ditangani sebaik mungkin oleh jentera GRS bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat mengenai setiap isu dibangkitkan pihak lawan bagi menangkis sebarang dakyah dan fitnah.

“Kita mesti serang balik dengan kebenaran dan fakta. Oleh itu saya menyeru jentera parti di semua peringkat hingga ke akar umbi supaya memainkan peranan aktif sama ada melalui media sosial atau bersemuka,” katanya.

Hajiji juga mengingatkan jentera pilihan raya GRS bahawa pilihan raya kali ini bukan hanya persaingan di lapangan, tetapi juga di alam maya berikutan kepesatan penggunaan media sosial untuk membentuk persepsi rakyat.

Sehubungan itu, katanya, kejayaan GRS juga bergantung kepada sejauh mana jentera gabungan itu menguasai media sosial sebagai alat komunikasi bagi menghalang propaganda pembangkang.

“Hanya dengan perjuangan GRS dan kerjasama erat parti komponennya mampu membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Sabah.

“Pertarungan kali ini bukan setakat mendapatkan mandat rakyat atau untuk menjadi kerajaan, sebaliknya ini soal masa depan Sabah. Kemenangan GRS memberi kita suara lebih besar dalam usaha membangunkan Sabah.

Kita akan mempunyai kedudukan yang lebih teguh dalam menuntut dan mempertahan hak Sabah,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan jentera GRS bahawa kemenangan tidak datang tanpa usaha, sebaliknya hanya kerja kuat dan niat yang ikhlas selain bergerak berpasukan mampu mencapai misi yang ditetapkan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment