BANGI 25 Sept . – Mustahil untuk Malaysia dijadikan sebagai pangkalan dan pusat operasi kepada anggota Hamas, kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dakwaan yang dibuat penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer jelas sekali tidak benar.
Katanya, Malaysia sudah mengambil tindakan pemantauan yang ketat dalam mengawal aktiviti berunsur keganasan dalam negara ini.
“Memang tidak ada pangkalan melatih (Hamas) apatah lagi dijadikan sebagai pangkalan untuk Hamas ini. Kita ketahui bahawa ini adalah tuduhan yang sudah dinafikan oleh Ketua Polis Negara (Mohd Khalid Ismail),” katanya.
Beliau juga menjelaskan Malaysia memang mempunyai pemantauan keganasan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya cawangan khas.
“Memang PDRM waktu saya jadi Menteri Dalam Negeri, kita buat pemantauan dan mustahil untuk Malaysia dijadikan pangkalan Hamas,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke UniKL Malaysia France Institute di sini, hari ini.
Semalam, Mohd Khalid menafikan Malaysia dijadikan pusat operasi anggota Hamas, sebaliknya menjelaskan perjuangan rakyat Palestin dekat di hati rakyat Malaysia kerana negara ini berteraskan Islam, justeru pelbagai bentuk bantuan berterusan disalurkan.
Sebelum ini, media melaporkan Jonathan mencipta kontroversi apabila mendakwa Malaysia sudah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas.
Dalam satu hantaran di platform X, Jonathan turut menegaskan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak berminat dengan perdamaian.
Kritikan itu muncul selepas Anwar menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin dan menggesa supaya hubungan dengan Israel diputuskan kerana Gaza terus dihancurkan, manakala Tebing Barat dirampas.
Nnnn
