CYBERJAYA 25 Sept. – Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape secara berperingkat dengan sasarannya bermula seawal pertengahan tahun depan atau separuh kedua tahun 2026.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, ada banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan tetapi KKM tetap mahu mengharamkan penjualanya.
“Saya berharap ia dapat dilaksanakan pada pertengahan 2026. Jika tidak, pada separuh kedua tahun depan. Kita tetap mahu mengharamkan penjualan,” katanya selepas melancarkan Pelan Induk Nasional Tingkah Laku Dalam Kesihatan, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, KKM dalam proses merangka Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai pengharaman vape bagi memastikan pelaksanaannya dirancang secara intensif dan menyeluruh.
Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat, bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluaskan kepada semua jenis vape hingga meliputi keseluruhan produk.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, KKM akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri supaya penebusan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluaskan kepada produk buah-buahan dan sayur-sayuran bagi menggalakkan tabiat pengambilan makanan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ini boleh menjadi sebahagian daripada strategi dorongan kerana kita tahu ada kelompok umur tertentu yang tidak gemar makan sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya.
Ketika ini, penerima Penghargaan SARA boleh menebus barangan keperluan asas daripada 14 kategori produk seperti beras, roti, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, produk kebersihan diri, barangan kebersihan, kelengkapan rumah, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Nnn
