SEPANG 25 Sept. – Kerajaan akan menyediakan bantuan undang-undang jika berlaku tindakan agresif atau perundangan terhadap sukarelawan negara yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata barisan peguam sudah memberikan nasihat dari sudut perundangan sekiranya insiden tidak diingini berlaku sepanjang pelayaran.
“Kita ucapkan terima kasih kepada barisan peguam yang memberikan nasihat perundangan jika berlaku sebarang permasalahan dan tindakan agresif pihak Israel.
“Kita harap semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terus memantau 24 jam,” katanya selepas melawat Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby.
SNCC dikoordinasi bersama tiga organisasi NGO iaitu MAPIM, Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Cinta Salam Malaysia (CSM).
Ia ditubuhkan sebagai pusat rujukan rasmi maklumat berkaitan GSF yang berperanan memastikan segala maklumat mengenai perjalanan konvoi disalurkan secara tepat khususnya membabitkan penyertaan sukarelawan rakyat Malaysia.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyifatkan 34 rakyat Malaysia yang menyertai GSF sebagai wira dan wirawati yang cekal serta perlu mendapat sokongan semua pihak.
Beliau turut menggesa media arus perdana, elektronik, cetak dan media sosial memberi liputan terbaik sebagai tanda sokongan rakyat Malaysia kepada wira dan wirawati peserta misi berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, beliau sempat mengadakan sidang video selama kira-kira 10 minit bersama semua 34 peserta GSF berkenaan.
Nnnn
