Lindungi identiti lima remaja bakal didakwa
KUALA LUMPUR 19 Ogos – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengingatkan orang awam dan media supaya tidak mendedahkan identiti lima remaja yang bakal didakwa esok berkaitan kes buli pelajar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir,
Dalam kenyataannya, Suhakam meminta semua pihak bertindak penuh tanggungjawab serta mematuhi undang-undang, khususnya membabitkan hak perlindungan kanak-kanak.
Menurut suruhanjaya itu, lima remaja terbabit yang akan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu berhak mendapat perlindungan penuh bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), termasuk sokongan berasaskan trauma, wakil guaman serta layanan yang adil.
“Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sekolah atau sebarang butiran yang boleh membawa kepada pengecaman mereka, tidak boleh didedahkan kepada umum,” katanya.
Menurut Suhakam, perbuatan menerbitkan identiti kanak-kanak boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta 611 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama Suhakam turut menekankan bahawa Mahkamah Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup mengikut Seksyen 12 akta sama, dan hanya pihak berkepentingan dibenarkan hadir dalam prosiding.
Selain itu, Suhakam menegaskan fokus utama kini adalah mengelakkan stigma berterusan terhadap kanak-kanak yang terlibat.
Menurut kenyataan itu lagi, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok turut disaran mengemas kini dasar dalaman secara proaktif untuk mengesan serta memadam kandungan yang melanggar Akta Kanak-Kanak.
“Sebarang kandungan yang diterbitkan dan boleh mengenalpasti kanak-kanak berpotensi menambah mudarat kepada mereka sama ada secara tidak sengaja atau berniat jahat
“Untuk mengambil tindakan menurunkan kandungan hanya selepas menerima permohonan mungkin membolehkan bahan yang menyalahi undang-undang dan berbahaya tersebar luas, sekali gus menjejaskan perlindungan yang dijamin oleh undang-undang,” kata Suhakam.
Nnnnn
