SSEPANG 25 Julai – Semua pengangkutan awam termasuk stesen-stesen kereta api KTMB dan Prasarana diarah untuk terus beroperasi seperti biasa esok, 26 Julai, hari Perhimpunan Turun Anwar di ibu negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pengangkutan awam harus terus berfungsi supaya majoriti rakyat boleh menjalankan urusan hujung minggu tanpa diganggu oleh perhimpunan berkenaan.
“Saya menggalakkan para peserta perhimpunan esok untuk menggunakan pengangkutan awam supaya kesesakan lalu lintas di ibu kota dapat diminimakan!,”katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Terdahulu tular satu pengumuman notis penutupan sementara waktu operasi stesen KTMB Bank Negara dan Kuala Lumpur mulai 9 pagi hingga 5 petang di mana tren komuter dilaporkan tidak akan berhenti di stesen-stesen berkenaan.
Kedua-dua stesen itu menjadi laluan terdekat untuk orang ramai ke Masjid Negara, Sogo dan Dataran Merdeka.
Loke berkata Kerajaan Madani mempertahankan hak kebebasan berhimpun, termasuk mereka yang tidak sehaluan dengan Kerajaan.
Beliau pada masa sama turut mempromosi penggunaan Pas MY50 yang kini boleh diperbaharui secara atas talian melalui aplikasi Touch N’ Go dengan setiap pas bernilai RM150, tetapi pengguna hanya bayar RM50, selebihnya subsidi.
“Bagi yang datang ke ibu kota buat pertama kali, boleh menikmati perkhidmatan LRT, MRT, BRT, Monorel dan RapidBas tanpa had untuk sehari menggunakan MyCity Pass yang harganya RM6. Pass ini akan kita digitalkan pada hujung tahun,” katanya.
Nnn
