SEPANG 25 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah boleh membuka kertas siasatan terhadap bekas Setiausaha Politik kepada Anwar Ibrahim sewaktu menjadi Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, maklumat -maklumat yang didedahkan setakat ini sudah cukup untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan terhadap Farhash, seperti mana kertas siasatan dibuka terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba.
“Kontroversi demi kontroversi yang ditimbulkan dan dikaitkan dengan Farhash perlu ditangani segera dan penafian mentah tidak lagi akan diterima oleh rakyat,” kata bekas Timbalan Presiden PKR itu menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Rafizi turut memberi amaran bahawa isu yang membelenggu Farhash itu berisiko memberi impak buruk kepada parti dan gabungan kerajaan menjelang pilihan raya akan datang.
“Saya khuatir beban Farhash ini akan mengheret PKR dan PH dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Menurut Rafizi , maklumat yang telah tular di media sosial menunjukkan kewujudan unsur yang wajar disiasat bagi memastikan ketelusan serta mengelak persepsi negatif terhadap kerajaan.
Dakwaan terkini mengenai sebuah syarikat dikaitkan Farhash telah menerima perolehan kelulusan lesen cari gali arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah.
“Tuduhan terbaru mengenai lesen penerokaan mineral tidak akan mati begitu sahaja. Pendedahan setakat ini disertakan dengan dokumen dan rakaman audio. Saya percaya lebih banyak maklumat akan menjadi pengetahuan umum selepas ini.
Saya juga percaya ia bukan tuduhan terakhir yang membabitkan Farhash. Dari semasa ke semasa, ada saja kontroversi baru mengenai beliau yang akan menjadi bualan umum,” katanya.
Menurut Rafizi, sejak Anwar menjadi Perdana Menteri, Farhash tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat.
Ada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan beliau, kemudiannya mendapat kontrak perolehan yang besar dari kerajaan, namun jumlah sebenar kontrak-kontrak perolehan kerajaan yang dianugerahkan tidak diketahui umum.
“Namun, pengaruh Farhash menjadi bualan rakyat di luar – baik rakyat biasa yang melihat kemewahan dan gaya hidupnya, sehinggalah golongan perniagaan yang berurusan dengan kerajaan dan dalam sektor korporat.
Apabila perkara ini dibangkitkan sebelum ini, Anwar hanya memberi penafian. Penjelasan beliau ialah kegiatan perniagaan Farhash tidak ada kena mengena dengan beliau kerana Farhash bukan lagi setiausaha politik beliau.
Saya memilih untuk bersangka baik ketika itu, walaupun saya tahu pengaruh Farhash dalam PKR dan sebahagian pentadbiran kerajaan itu benar-benar wujud,” katanya.
Rafizi dalam pada itu menarik perhatian mengenai ucapan Anwar di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan semalam (24 Julai 2025) yang meluahkan rasa pelik kenapa usaha-usaha yang dipelopori untuk membanteras rasuah, seolah-olah tidak disambut oleh beberapa pihak terutamanya pembangkang.
Beliau tidak meragui keikhlasan Anwar untuk membanteras rasuah malahan salah satu penyumbang kepada kemenangan PKR dan PH dalam PRU2018 dan PRU2022 adalah manifestasi tuntutan rakyat agar rasuah dibanteras sekeras-kerasnya.
Rafizi berkata, rasa pelik yang Anwar luahkan itu ada asasnya.
“Sementara kita memahami sikap pembangkang yang akan menolak setiap usaha kerajaan, kita juga perlu bermuhasabah kenapa sebahagian rakyat biasa masih belum yakin dengan usaha kerajaan membanteras rasuah.
Kesan dari rasa kurang yakin ini boleh dilihat melalui beberapa sudut termasuk kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) masih di takuk yang sama di kedudukan 57 dari 180 negara, tidak banyak berbeza dari pencapaian 2015.
Begitu juga dengan data-data kaji selidik yang pernah dikongsikan sebelum ini yang menunjukkan kebimbangan rakyat mengenai rasuah semakin meningkat sedangkan kerajaan secara berterusan melakukan pelbagai penambahbaikan proses, selain dari pendirian Perdana Menteri yang berulang kali menolak rasuah.
Rafizi berkata, jika Perdana Menteri rasa pelik kenapa sambutan rakyat tidak segah usaha-usaha yang sedang dilakukan, ia bermakna ada perkara lain yang mungkin mencacatkan usaha-usaha itu di mata rakyat.
Katanya, kedudukan CPI ditentukan oleh persepsi rakyat yang dipengaruhi oleh beberapa perkara penting, terutama keberkesanan reformasi yang dijalankan hingga ia berjaya membanteras amalan rasuah ke peringkat akar umbi dan dirasai oleh rakyat dalam urusan seharian mereka; 𝘥𝘢𝘯
Begitu juga pandangan umum mengenai konsistensi pemerintah memlawan rasuah, supaya amalan rasuah dibanteras dengan seadilnya dan pemerintah dilihat benar-benar bersih dari rasuah.
“Kita boleh menerima pandangan bahawa reformasi pentadbiran yang dilaksanakan akan mengambil masa untuk mengubah budaya agar amalan rasuah dibanteras sehingga ke akar umbi.
Namun, adalah sangat berbahaya jika pentadbiran Anwar dilihat tidak konsisten dan memilih bulu dalam membanteras rasuah, sekiranya ada kes-kes besar yang melibatkan pimpinan Kerajaan Perpaduan atau tokoh-tokoh yang rapat dengan beliau.
