Berhimpun tanpa cetus provokasi – Muhyiddin

SEPANG 25 Julai  – Semua peserta perhimpunan aman Turun Anwar yang akan berlangsung di Kuala Lumpur esok diminta menjaga adab, tatasusila dan patuh kepada undang-undang serta tidak mencetuskan provokasi yang mengganggu ketenteraman awam.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata, menyertai perhimpunan aman adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada sesiapapun yang boleh menghalangnya.

“Justeru, jaga dan peliharalah hak ini dengan sebaik-baiknya,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan melalui Facebooknya.

Muhyiddin yang akan turut hadir perhimpunan itu bersama rakan-rakan pimpinan PN juga memohon pihak polis supaya menjaga keamanan dan ketenteraman sepanjang perhimpunan ini berlangsung.

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia beramai-ramai menyertai perhimpunan ini bagi menunjukkan sikap terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dakwanya bukan sahaja gagal mengurus negara dengan baik, malah memungkiri janji-janjinya.

“Sudahlah isu beban kos sara hidup rakyat gagal ditangani, banyak pula cukai baharu diperkenalkan dan subsidi dipotong yang menambah beban rakyat,” katanya.

Kerajaan juga didakwa mencabuli janji tatakelola yang baik dan jaminan hak kebebasan rakyat bersuara di mana semakin ramai rakyat biasa diugut, disiasat dan didakwa hanya kerana menyatakan bangkangan terhadap dasar dan tindakan kerajaan.

Mengenai pengumuman bantuan RM100 dan penurunan harga petrol RON95 sebanyak 6 sen, Presiden Bersatu itu menyifatkan ia adalah langkah terdesak Anwar untuk mengekang perasaan tidak puas hati rakyat.

“Ini bukanlah suatu tindakan yang betul untuk menangani bebanan kos sara hidup. Yang rakyat mahukan ialah kerajaan mengkaji semula pengenaan pelbagai bentuk cukai dan pemotongan subsidi yang membebankan mereka.

Ini tidak dilakukan. Banyak wang yang dipungut dari rakyat, yang dipulangkan hanyalah sedikit. Ia sudah terlambat. Ayuh, kita turun beramai-ramai esok!,” katanya.

Semalam Anwar mengambil maklum tentang perhimpunan pada Sabtu ini dan
menitipkan pesanan agar perhimpunan berlangsung secara aman dan tertib.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, Anwar juga mengarahkan pihak polis untuk memberikan kerjasama sewajarnya demi memastikan keselamatan awam dan kelancaran perhimpunan itu.

“Kedua, pendirian Kerajaan Madani adalah jelas dan konsisten, kita merayakan demokrasi. Hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak yang menentang kerajaan adalah satu elemen penting dalam negara yang bebas dan adil. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, ruang ini bukan sahaja dibuka luas, malah dihormati.

“Apa jua ketidaksetujuan terhadap kerajaan, termasuk menerusi demonstrasi awam, tidak akan disekat secara membuta tuli. Sebaliknya, ia dianggap sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan matang, selagi tidak melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan awam,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment