KUALA LUMPUR 23 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Lebuh raya terlibat termasuklah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).
Kali terakhir pengumuman mengekalkan kadar tol adalah pada April 2022, yang dilaksana di empat lebuh raya di Lembah Klang hingga tamat tempoh konsesi.
Empat lebuh raya itu ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).
Anwar ketika mengumumkan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran media utama di sini, hari ini berkata berikutan
penangguhan itu, kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta.
Selain ketiadaan kenaikan kadar tol, kerajaan sejak 2023 sudah melaksana inisiatif membantu rakyat dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol 50 peratus sepanjang musim perayaan yang membabitkan empat perayaan utama di negara ini.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.
Perdana Menteri berkata, langkah itu tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
Nnn
