SEPANG 23 Julai – Dr Mahathir Mohamad tidak mahu imuniti atas faktor umur sebaliknya mahu kerajaan membuktikan di mahkamah dakwaan mengatakan beliau bersalah dalam isu Pulau Batu Putih.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, imuniti hanya untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah.
“Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam di Parlimen Perdana Menteri (PM) Anwar Ibrahim mengumumkan Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir berhubung isu Batu Puteh atas faktor umurnya yang kini mencecah 100 tahun.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan, kerajaan berpendirian Dr Mahathir tetap bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura
Dr Mahathir berkata, walaupun beliau dijatuhi hukuman bersalah tetapi tiada sebarang tindakan akan diambil kerana faktor umurnya..
“Yang hukum saya bersalah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar. Yang umum saya tak perlu diambil tindakan ialah Datuk Seri Anwar.
Ini bermakna Datuk Seri Anwar bukan sahaja PM, dia juga hakim dan juga pendakwaraya. Begitulah hebat kuasanya. Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwaraya atau hakim,” katanya.
Nnnn
