Tiba masa “kami akan menyeberangi jambatan”

KUALA LUMPUR 17 Julai  – Anwar Ibrahim didesak supaya mengambil tanggungjawab penuh melaksanakan segera Titah Adendum bagi membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Desakan itu diputuskan oleh 145 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara, yang turut menggesa Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dr Mohd Shafei Abdullah, yang bertindak sebagai jurucakap berkata, langkah itu sebagaimana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, sekali gus tiada lagi alasan melengahkan pelaksanaannya.

“Namun jika Titah Adendum itu tidak dilaksanakan oleh Perdana Menteri, kami tidak akan berdiam diri.

Kami akan ‘menyeberangi jambatan’ apabila tiba masanya (we cross the bridge when we come to it),” katanya pada sidang media selepas Perjumpaan Khas Ketua-ketua UMNO Bahagian, di sini, malam tadi.

Perjumpaan itu juga mendesak Peguam Negara menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari 2025 berkait kes Titah Adendum itu.

“Sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah Raja serta mendukung keadilan dan bukan menghalangnya,” katanya

Selain itu, semua Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara yang belum bersidang, dicadangkan membawa usul khas mengenai isu Titah Adendum ini dalam persidangan bahagian masing-masing.

“Usul ini penting sebagai bukti kesepakatan dan solidariti parti dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta menegakkan prinsip keadilan untuk semua,” katanya.

Mohd Shafei berkata, Ketua-ketua UMNO bahagian menegaskan perkara itu bukan hanya soal individu tetapi juga soal kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada institusi diraja dan prinsip keadilan.

Beliau juga menjelaskan perjumpaan khas malam ini adalah atas inisiatif ketua-ketua bahagian yang antara lain membincangkan desakan akar umbi UMNO berhubung Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Ia susulan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang dikatakan titah oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 untuk membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.

Sebaliknya, media melaporkan AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.

Katanya, perjumpaan itu tidak melibatkan pimpinan utama parti dan yang berjawatan menteri manakala 15 lagi ketua bahagian yang tidak hadir menyokong sebarang keputusan yang dibuat pada perjumpaan itu.

Mohd Shafei menekankan bahawa fakta mengenai kewujudan titah itu sudah disahkan secara rasmi oleh Istana Pahang melalui surat bertarikh 4 Januari lalu, selain turut diputuskan sebagai sah oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025.

“Namun, amat mendukacitakan apabila titah itu disorok lebih setahun oleh bekas Peguam Negara, yang jelas menafikan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan mencemarkan institusi diraja,” dakwanya.

Berikutan itu, katanya, Ketua-ketua UMNO Bahagian sebulat suara bersetuju mendesak kerajaan segera melaksanakan tiga keputusan utama dalam mempertahankan keadilan dan institusi diraja.

Mohd Shafei turut menzahirkan keyakinan bahawa Perdana Menteri akan mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat untuk menghormati Titah Adendum itu dan mengelakkan ketegangan politik.

Mengulas mengenai kenyataan Lim Lip Eng yang didakwa mempersendakan titah itu pula, Mohd Shafei berkata, ia hanya pandangan peribadi Ahli Parlimen Kepong itu dan tidak mencerminkan pendirian parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera… kalau boleh semalam,” katanya yang menggambarkan keperluan disegerakan.

Antara yang hadir pada sidang media itu adalah Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam  Musa Sheikh Fadzir;  Mohd Nazifuddin Najib (Langkawi); Ahmad Bashah Md Hanipah (Alor Setar),  Suraya Yaacob (Pendang), Jamil Khir Baharom (Jerai),  Johan Abdul Aziz (Hulu Langat), dan  Ahmad Said (Kemaman).

Nnn

Related posts

Leave a Comment