SEPANG 26 Jun – Di sebalik kerisauan mengenai situasi di Timur Tengah, kumpulan pertama 229 jemaah umrah Andalusia Travel and Tour Sdn. Bhd. (Andalusia) berlepas ke Jeddah petang ini dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris ketika ditemui di KLIA hari ini berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa berkaitan laluan udara dan keselamatan penerbangan.
“Sehingga kini semua jadual penerbangan umrah masih seperti biasa dan kami berterima kasih kepada rakan strategik kami Malaysia Airlines atas kerjasama yang erat dalam memastikan kelancaran perjalanan jemaah” katanya.
Beliau berada di KLIA bagi mengucapkan selamat berangkat kepada kumpulan jemaah pertama yang menggunakan penerbangan Amal by Malaysia Airlines.
Penerbangan ini juga menandakan permulaan kerjasama strategik untuk musim 1447H antara Andalusia dan Amal by Malaysia Airlines yang menawarkan perkhidmatan umrah yang lebih profesional, selesa dan sistematik.
Dari Jeddah, jemaah yang diringi enam mutawif bagi menyertai pakej 12 hari 10 malam (26 Jun hingga 7 Julai) itu akan dibawa terus ke Makkah untuk menunaikan ibadah umrah pertama.
Hadir sama mengucapkan selamat berangkat adalah Pengerusi Eksekutif Andalusia Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Ibrahim Mat Sin.
Ida Riswana berkata, Andalusia komited dalam memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah menjadi keutamaan termasuk menyediakan maklumat terkini, pengiring berpengalaman serta kemudahan yang lengkap sepanjang ibadah.
“Pihak pengurusan Andalusia juga akan terus memantau situasi serantau dan akan memaklumkan sebarang perubahan sekiranya perlu kepada semua jemaah dan ahli keluarga mereka,” katanya.
Penerbangan hari ini juga adalah sebahagian daripada kontrak eksklusif sebanyak 21,500 tempat duduk setahun bersama Amal.
Untuk rekod sepanjang musim lalu, lebih kurang 50,000 jemaah Andalusia telah dihantarbdengan selamat ke Tanah Suci, tiada seorang pun yang terkandas, satu pencapaian dalam membuktikan keutuhan sistem operasi Andalusia.
Dalam pada itu, mengenai penginapan, untuk musim ini Andalusia terus mengekalkan hotel-hotel premium dan ekonomi yang sama seperti musim lalu di samping menambah beberapa hotel baharu.
Nnn
