Pencapaian anak Malaysia perlu dirai

KUALA LUMPUR 26 Jun – Pelantikan Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat, kata Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan dipersoal, apatah lagi diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya.

“Tahniah daripada Pas buat Leftenan Jeneral Dato’ Johnny Lim,” katanya mengulas kenyataan kontroversi yang dimuat naik oleh seorang pemimpin kawasan Pas di media sosial, yang seolah-olah mempersoalkan pelantikan itu berdasarkan kaum.

Takiyuddin yang tidak merujuk nama pemimpin berkenaan berkata hantaran itu berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan Pas yang sah.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada catatan Facebook Ketua Pas Bahagian Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad yang membuat spekulasi kemungkinan Malaysia mempunyai perdana menteri bukan Melayu menjelang 2058, sambil mengepilkan gambar pelantikan Johny Lim Eng Seng sebagai leftenan jeneral ATM.

Menurut Takiyuddin, pandangan individu terbabit sepenuhnya yang bukan sahaja tidak ada kaitan, malah berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan Pas yang sah seperti terkandung dalam Perlembagaan Pas, ketetapan Muktamar Agung Tahunan, mesyuarat parti atau kenyataan rasmi yang dibuat dari masa ke masa.

“Pas komited dan menjunjung tinggi prinsip dan realiti kepelbagaian kaum dan kepercayaan sebagai ciri unik dan berharga masyarakat kita yang perlu dipupuk dengan sebaik-baiknya,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Takiyuddin mengingatkan bahawa salah satu syarat untuk menjadi ahli Pas adalah “mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan Pas, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti dari semasa ke semasa.

“Justeru Pas tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat,” tambahnya.

Sementara itu catatan Zaharuddin – yang telah dipadamkan – mencadangkan dasar imigresen seperti program Malaysia My Second Home (MM2H) boleh membawa kepada kemunculan perdana menteri bukan Melayu pada masa hadapan.

Bersama catatan Zaharuddin itu turut disertakan tangkap layar laporan berita mengenai penganugerahan pangkat leftenan jeneral kepada Lim.

Hantaran itu mencetuskan kemarahan ramai, termasuk veteran tentera yang menganggapnya sebagai penghinaan kepada integriti ATM dan institusi Raja.

Dalam catatan terbaru, Zaharuddin menafikan dakwaan dia menghina penganugerahan Johnny Lim dan menegaskan bahawa pada catatan asal dia menyertakan penjelasan bahawa gambar yang dilampirkan hanya gambar hiasan.

“Poin utama tulisan saya ialah untuk menyedarkan masyarakat bahaya MM2H, di mana hari ini pembeli akan beli dan mendiami rumah tersebut.

“Apabila berlaku kelahiran, maka tidak mustahil mereka akan minta kerakyatan dan selepas 20 tahun mereka akan minta hak mengundi. Jika bangsa asing ini masuk secara terancang, sebagaimana Zionis di Palestin, maka tidak mustahil pada tahun 2058, PM Malaysia adalah daripada kalangan anak kelahiran bangsa asing ini. Ini poin utama saya,” katanya.

“Apa yang saya maksudkan ialah perlantikan bukan muslim bumiputera adalah perkara biasa, tetapi jangan jadikan PM bukan Melayu perkara biasa macam pelantikan bukan melayu dalam ATM. Itu maksud asal saya,” tambahnya.

Related posts

Leave a Comment