Dunia kecam serangan Israel keatas Iran

JEDDAH – Serangan Israel ke atas Iran disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara itu dan undang-undang antarabangsa sert ancaman serius terhadap keamanan dan kestabilan serantau.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha, berkata OIC mengecam sekeras-kerasnya serangan itu.

Justeru OIC menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bertindak segera serta tegas bagi menghentikan serangan itu.

“Serangan itu menjejaskan keselamatan di seluruh rantau. Majlis Keselamatan perlu memikul tanggungjawabnya,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di laman sesawang rasmi, semalam.

Sementara itu Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, berkata Tokyo akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan dalam Kumpulan Tujuh (G7) bagi membantu meredakan ketegangan di Asia Barat susulan serangan tentera Israel ke atas Iran.

Beliau berkata, Jepun akan menyatakan pendiriannya pada Sidang Kemuncak G7 dijadualkan berlangsung di Kanada mulai Isnin depan, sambil menekankan kepentingan usaha antarabangsa yang diselaraskan bagi mengelak keadaan daripada terus meruncing.

Ishiba turut mengecam serangan Israel itu dengan menyifatkannya sebagai ‘sama sekali tidak boleh diterima’ dan ‘amat dikesali.’

“Segala tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan mesti dielakkan,” katanya kepada media, merujuk kepada serangan Israel dan tindak balas yang dilaporkan daripada pihak Iran.

Jepun – yang secara tradisinya mengekalkan hubungan baik dengan Iran berikutan kebergantungan pada bekalan minyak mentah dari negara itu – sudah lama mengamalkan pendekatan diplomatik yang seimbang di rantau berkenaan.

Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya, pada satu sidang media pula menekankan bahawa keamanan dan kestabilan di Asia Barat adalah ‘amat penting’ bagi Jepun, sekali gus menggesa semua pihak agar mengamalkan ‘tahap kawalan diri yang maksimum.’

Iwaya turut memaklumkan bahawa Tokyo akan mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan rakyat Jepun di rantau itu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata Perancis bersedia untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi mengelak peningkatan ketegangan di Asia Barat susulan serangan tentera Israel ke atas Iran.

Macron menggesa semua pihak supaya ‘mengamalkan tahap kawalan diri maksimum’ bagi mengekalkan kestabilan serantau.

Katanya, beliau telah memanggil mesyuarat Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara serta memberi jaminan bahawa semua langkah perlu akan diambil bagi melindungi warga Perancis dan perwakilan negara itu di rantau berkenaan.

Beliau turut memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin utama serantau dan antarabangsa, termasuk Putera Mahkota Arab Saudi, Raja Jordan, Presiden Emiriyah Arab Bersatu, Amir Qatar, Canselor Jerman, Perdana Menteri United Kingdom dan Presiden Amerika Syarikat.

Mnn

Related posts

Leave a Comment