AS umum langkah perangi Omicron

WASHINGTON: Presiden Joe Biden mengumumkan pelbagai langkah baharu dalam usaha untuk memerangi Covid-19 selepas dua kes melibatkan varian Omicron dilaporkan di Amerika Syarikat (AS).

Pelan baharu itu adalah gabungan nasihat yang diutarakan semua pihak dan ia tidak melibatkan sekatan pergerakan tetapi perlindungan vaksinasi dan suntikan dos penggalak yang lebih meluas dan ujian saringan dan banyak lag.

Biden berkata langkah itu akan membolehkan sekolah dan perniagaan kekal dibuka sambil memastikan rakyat Amerika selamat.

“Kami akan melawan varian ini dengan sains dan kecekapan bukan secara huru-hara dan kekeliruan,” katanya.

Tindakan itu termasuk meningkatkan perlindungan vaksinasi Covid-19 di seluruh AS, mengetatkan protokol ujian saringan untuk semua pelawat antarabangsa dan mewajibkan keputusan ujian negatif sehari sebelum berlepas ke negara itu. 

Sebelum ini, pentadbiran Biden mengumumkan sekatan perjalanan dari Afrika Selatan dan tujuh negara selatan Afrika menyusuli penularan kes varian Omicron. 

AS juga mengumumkan rancangan untuk memperluaskan peraturan pemakaian pelitup untuk perjalanan domestik sehingga pertengahan Mac 2022.

Peraturan pelitup itu pada awalnya dijadualkan tamat pada Januari 2022.

Kes kedua varian Omicron di Amerika Syarikat dilaporkan di Minnesota pada Khamis, sehari selepas kes pertama disahkan di California.

Sementara itu di NEW YORK, lima lagi kes positif Covid-19 varian Omicron dilaporkan pada Khamis, beberapa jam selepas kes yang sama dikesan di Minnesota dan Colorado.

Gabenor New York Kathy Hochul ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media lewat Khamis, berkata pegawai masih mengumpulkan butiran mengenai kes itu.

Related posts

Leave a Comment