KUALA LUMPUR 14 Jun – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengulangi tekad untuk terus bertindak terhadap pemimpin korup walaupun usaha itu tidak mendapat sokongan.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan ‘tidak berminat’ untuk memenjarakan individu tertentu yang terbabit rasuah, sebaliknya hanya mahu mendapatkan kembali wang negara yang diseleweng dan digunakan kembali untuk manfaat rakyat.
“Apabila kita sudah mengambil tindakan terhadap pemimpin yang korup, sama ada yang dahulu atau masih berkhidmat dalam jawatan, ahli perniagaan, pemimpin korporat yang membazirkan berbilion ringgit, saya tidak melihat kemarahan atau sokongan (sedangkan) sepatutnya kita tunjukkan.
“Tetapi itu tidak mengapa, saya tetap akan menjalankan tugas saya, sama ada mendapat sokongan umum atau tidak.
“Itu tanggungjawab saya dan saya akan melaksanakannya sebaik mungkin untuk memastikan kita membasmi rasuah yang telah berakar umbi dalam negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Anwar berkata, amalan memunggah kekayaan negara oleh tokoh politik dan ahli korporat perlu segera dihentikan.
“Bagaimana negara mengizinkan puluhan bilion dipunggah oleh beberapa tokoh politik dan korporat, kemudian dilupakan begitu sahaja? Di mana pengajarannya. Apa makna kuasa?
“Saya bukan minat nak penjarakan orang. Saya ada minat nak merampas balik wang itu supaya kembali kepada rakyat. Itu minat saya. Saya nak hentikan budaya ini,” katanya.
Anwar mendedahkan ada pihak yang sanggup berpakat serta membiayai personaliti tertentu untuk menyeleweng wang negara dan dalam hubungan ini Perdana Menteri menegaskan tidak akan sesekali membiarkan kelompok itu terus melakukan jenayah.
Nnn