KUALA LUMPUR 24 Mei – Andalusia Travel and Tour Sdn. Bhd. (Andalusia) akan membuka laluan umrah baharu bersama syarikat penerbangan AirArabia dalam usaha syarikat menawarkan destinasi eksotik yang selamat, Islamik dan penuh keindahan.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, laluan itu melalui Baku, Azerbaijan, Uzbekistan, Kazakhstan, Turkmenistan, Kyrgystan dan Tajikistan.
“Semua ini dapat direalisasikan melalui laluan strategik AirArabia yang menghubungkan dunia Islam secara menyeluruh dari pusat operasi di Sharjah dan Andalusia mengambil peluang untuk memperkayakan nilai ibadah jamaah,”katanya.
Beliau berkata demikian Khamis lalu pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman bersama syarikat penerbangan AirArabia bagi menyediakan 10,000 tempat duduk musim umrah 1447 Hijrah dengan nilai kontrak RM31 juta.
Pada musim 1446H, Andalusia telah menerbangkan 4,632 jemaah bersama syarikat penerbangan kos rendah itu.
Pada majlis itu, Ida Riswana mewakili Andalusia Travel manakala AirArabia diwakili Pengurus Serantau Yasmin Ahmad. Hadir sama Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel Md Daud Che Ngah.
Menurut Ida Riswana, ini kali ketiga kerjasama itu diadakan khusus untuk menawarkan laluan alternatif pada harga kompetitif kepada jemaah daripada golongan berpendapatan sederhana dan keluarga besar.
“Air Arabia menawarkan lebih daripada sekadar tambang murah. Ia adalah jenama global dengan rangkaian laluan penerbangan yang sangat luas merentasi Timur Tengah, Asia, Eropah dan Afrika Utara.
“Dari Sharjah, AirArabia membuka pintu kepada lebih 170 destinasi di seluruh dunia, sesuatu yang luar biasa bagi syarikat kos rendah. Air Arabia membuktikan bahawa syarikat penerbangan ‘low cost’ tidak semestinya ‘low quality’,” katanya.
Ida Riswana berkata, kerjasama itu dilihat sebagai langkah strategik yang memberi impak besar kepada sektor pelancongan umrah dan haji negara.
“Inisiatif ini bukan sahaja berjaya menurunkan kos ibadah, malah mengekalkan kualiti pengalaman jemaah secara menyeluruh.
“Ia turut membuka laluan lebih luas kepada rakyat Malaysia untuk meneroka dunia Islam sebelum ke Haramain, menjadikan ibadah umrah sebagai satu pengalaman holistik merangkumi aspek ilmu, ziarah, sejarah dan spiritual.
“Walaupun AirArabia berpangkalan di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), tempoh transit yang ditawarkan adalah singkat dan selesa, sekali gus membolehkan jemaah tiba ke destinasi dengan lebih cepat tanpa keletihan.
“Penerbangan transit ini sangat mesra pelanggan. Setibanya di Sharjah, para jemaah akan dibantu oleh pegawai bertugas untuk ke balai perlepasan seterusnya. Maka, tiada isu kelewatan jemaah ke pintu pelepasan,” katanya.
Tambahnya, kelebihan yang ditawarkan termasuk ruang kaki lebih luas, elaun bagasi sehingga 40 kilogram, tambahan lima liter air zam zam percuma serta bantuan kakitangan lapangan bagi menjamin kelancaran transit di Sharjah.
Ida Riswana berkata, Andalusia memanfaatkan laluan strategik Air Arabia dari Sharjah untuk memperkayakan nilai ibadah jemaah melalui pelbagai inisiatif.
Ketika ini inisiatif yang diambil adalah, perhentian singgah di Dubai dan Abu Dhabi yang membolehkan jemaah menikmati pengalaman moden dan Islamik sebelum mereka menyambung penerbangan ke Tanah Suci.
Selain itu, pakej Umrah + Kaherah menawarkan lawatan ke tapak sejarah Islam terkenal seperti Masjid Al-Azhar dan makam sahabat Nabi, manakala pakej Istanbul Stopover memberi nilai spiritual tambahan dengan lawatan ke Masjid Biru dan Hagia Sophia.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kejayaan Andalusia dalam mengurus jemaah turut disokong oleh lebih 230 agensi pelancongan perniagaan ke perniagaan (B2B) dari dalam dan luar negara yang aktif memasarkan pakej syarikat ke seluruh Malaysia.
“Andalusia amat menghargai kesetiaan dan kerjasama erat ini. Kami berharap hubungan ini akan terus diperkukuhkan,” katanya.
Nnnn
