“Lagi ditekan, lagi kuat melawan,”

KUALA LUMPUR 11 Sept . – – Penyatuan ummah antara UMNO dan Pas semakin dicemburui dan mendapat tekanan daripada pihak lawan, sehingga terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi, kata Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, pelbagai bentuk intimidasi, fitnah dan tuduhan jahat telah direka semata-mata dengan tujuan menakutkan, mengaibkan, mencalar reputasi, dan menguji kecekalan hati pemimpin UMNO.

“Apa yang berlaku mutakhir ini mengingatkan kita betapa manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara sehingga hilang pertimbangan. (Mereka) rakus menyalahgunakan sisa-sisa jawatan, menganiaya rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak takhta.

“Tetapi mereka tersilap percaturan. Mereka sangkakan dengan menganiaya dan memalukan kita, maka kita akan lemah.

Sedangkan kita pejuang Melayu. Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah,” katanya ketika membentangkan laporan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, semakin hebat tekanan diberikan terhadap penyatuan itu, semakin kuat pihaknya akan melawan.

“Dicabar kita bangkit, ditekan kita melompat tinggi, dipukul kita berdiri lebih keras melawan. Semakin diambil semakin membumbung, semakin dihimpit semakin melenting.

“Kalau layar sudah dikembang, jangan gentar ombak lautan. Kalau sabar sudah tak terkekang, lagi ditekan, lagi kuat melawan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan perwakilan UMNO supaya tidak terlalu mendongak ke atas ketika angin memihak kepada parti itu.

“Gelombang yang membawa kita ke atas juga boleh menghempas kita ke bawah jika kita lupa daratan. Ingatlah, kemenangan ini bukan lesen untuk kita mendada, tetapi suatu amanah untuk kita berkhidmat dengan lebih cemerlang kepada rakyat dengan penuh tawaduk dan keikhlasan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment