TEHRAN – Iran menyifatkan dakwaan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio, bahawa kumpulan Houthi sebagai “ejen dan proksi Iran” sebagai tidak berasas.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, dalam hantaran di platform X, menegaskan Houthi merupakan “aktor bebas” yang menentukan hala tuju dan tindakan mereka sendiri.
Justeru Iran menolak dakwaan AS bahawa kumpulan Houthi bertindak sebagai proksi Tehran, sambil menegaskan pergerakan itu membuat keputusan sendiri tanpa menerima arahan daripada mana-mana pihak.
“Houthi ialah sebuah pihak yang membuat keputusan sendiri. Mereka tidak menerima arahan daripada sesiapa dan tidak bertindak sebagai proksi mana-mana pihak,” katanya.
Beliau turut menuduh AS menjadi punca utama ketidakstabilan di Asia Barat melalui campur tangan ketenteraan dan dasar yang disifatkannya sebagai bersifat dominan terhadap negara-negara di rantau itu.
Menurut Baghaei, jika Washington benar-benar mahu melihat keamanan dicapai, AS perlu menghentikan campur tangan yang menurutnya mencetuskan ketegangan berpanjangan di rantau berkenaan.
Sejak sekian lama, Washington menuduh Tehran memberi sokongan ketenteraan, kewangan dan logistik kepada Houthi, dakwaan yang berulang kali dinafikan oleh Iran.
