SINGAPURA – Pemegang jawatan politik akan mendapat kenaikan gaji sekali sahaja sehingga sembilan peratus, dalam pelarasan pertama sejak 2011 susulan pemerintah menerima cadangan jawatankuasa yang ditubuhkan pada Disember 2025 untuk menyemak semula gaji pemegang jawatan politik dan Ahli Parlimen.
Dengan itu, ia bermakna menteri peringkat permulaan gred MR4 yang mendapat pelarasan penuh akan menyaksikan kenaikan gaji tahunannya daripada SGD$1.1 juta (RM3.5 juta) kepada SGD$1.2 juta (RM3.8 juta) apabila rangka kerja yang disemak semula berkuat kuasa mulai 15 Oktober.
Perdana Menteri, Lawrence Wong, yang berucap di Parlimen semalam berkata pemerintah telah menerima cadangan jawatankuasa untuk mengemas kini tanda aras MR4 daripada SGD$1.1 juta (RM3.5 juta) kepada SGD$1.8 juta (RM5.8 juta).
Menjelang akhir penggal pemerintah ini, Wong berkata beliau menjangkakan menteri yang kekal di MR4 akan berada di peringkat hujung bawah julat gaji baharu, iaitu SGD$1.35 juta (RM4.3 juta).
Katanya, pelarasan untuk setiap pemegang jawatan bergantung pada keadaan individu, termasuk prestasi dan bila gaji mereka kali terakhir diselaraskan.
Dengan perubahan pada rangka kerja itu, gaji Perdana Menteri, yang ditetapkan pada sekali ganda daripada tanda aras MR4, juga akan dinaikkan kepada SGD$3.6 juta (RM11.6 juta), meningkat daripada SGD$2.2 juta (RM7.1 juta).
Bagaimanapun, Wong berkata beliau akan mendermakan kenaikan gaji penuhnya – yang berjumlah SGD$1.4 juta (RM4.5 juta) setiap tahun – kepada badan amal.
