PKR saman 16 bekas MP, ADUN

KUALA LUMPUR 6 Mac – PKR memfailkan saman terhadap 16 bekas Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, dan menuntut ganti rugi RM10 juta daripada setiap individu kerana meninggalkan PKR dua tahun selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Saman atas dakwaan melanggar syarat bon itu difailkan oleh Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, bagi pihak parti (plaintif) dalam dua tindakan berasingan melalui firma guaman Tetuan Messrs Nav & Co di Mahkamah Tinggi, di sini, masing-masing pada 19 dan 27 Februari lalu.

Mereka yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah Baru Bian,  Kamarudin Jaffar, Mansor Othman, Mohd Rashid Hasnon,  Saifuddin Abdullah, dan  Dr R Santhara Kumar.

Selain itu, Abdul Yunus Jamhari,  Azman Nasrudin, Dr Afif Bahardin, Dr Chong Fat Full, Dr Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Dr Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim.

PKR mendakwa bahawa bawah klausa operatif bon, setiap defendan berkenaan bersetuju untuk membayar RM10 juta kepada parti dalam tempoh tujuh hari selepas berlaku mana-mana peristiwa, termasuk meletak jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Plaintif mendakwa telah melantik setiap defendan sebagai calonnya untuk bertanding pada PRU14 serta berjaya meraih beberapa kerusi Parlimen dan DUN, seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan serta beberapa kerajaan negeri.

Bagaimanapun pada 24 Februari 2020, setiap defendan telah berhenti menjadi ahli parti selepas dipilih bawah panji-panji parti.

“Mereka juga menzahirkan sokongan kepada gabungan politik selain PKR,” menurut PKR dalam pernyataan tuntutan itu.

PKR memaklumkan pada 11 Mac 2020, parti itu memutuskan untuk menamatkan keahlian setiap defendan, berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, satu sijil bertarikh 16 Mac 2020 dikeluar bagi mengesahkan keahlian setiap defendan telah ditamatkan.

Melalui surat bertarikh 28 Julai 2020, PKR telah mengeluarkan tuntutan rasmi kepada setiap defendan bagi pembayaran jumlah terbabit, namun defendan-defendan gagal membayar bon berkenaan.

PKR turut memaklumkan bahawa bon dimeterai itu merupakan mekanisme untuk melindungi dan mengurangkan risiko kepada parti.

Sehubungan itu, PKR menuntut setiap defendan membayar bon berjumlah RM10 juta, selain menuntut kos, faedah dan relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pengurusan kes bagi kedua-dua saman itu ditetapkan pada 17 dan 27 Mac ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment