DAP tolak kerjasama pengkhianat

SHAH ALAM 20 Mac – DAP tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berikutan pengkhianatan yang dilakukan sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-17 di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di sini, hari ini, DAP tidak akan membiarkan parti itu ditipu sekali lagi.

“Mandat rakyat yang diberi kepada PH dirompak pada awal tahun 2020 oleh Ahli Parlimen yang melakukan pengkhianatan atas tawaran jawatan dan dana kewangan.

“Itulah sebab berdasarkan pengkhianatan ini, DAP tidak akan bekerjasama dengan PN yang mengkhianati kita. Kalau ditipu satu kali, itu salah mereka, kalau kali kedua kita benarkan mereka tipu kita, itu salah kita,” katanya.

Guan Eng berkata, dalam tempoh dua tahun selepas tindakan yang dirujuk sebagai ‘Langkah Sheraton’, Malaysia terjerumus dalam krisis kesihatan, ekonomi dan kestabilan politik.

Katanya, kegagalan dan ketidakcekapan kerajaan menguruskan Covid-19 menyebabkan lebih empat juta jangkitan dengan 34,000 kematian selain mendakwa menyebabkan kerugian ekonomi lebih RM500 bilion susulan pelaksanaan ‘total lockdown’.

“PH perlu melakukan tugas yang lebih baik untuk menyampaikan mesej jika kita ingin memenangi semula sokongan rakyat.

“Untuk berjaya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain ke atas kehilangan sokongan popular tetapi melihat kelemahan sendiri dan mengapa berlakunya peratusan keluar mengundi yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata,  PH mesti menunjukkan ia bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan dan penggunaan logo bersama dalam PH akan membantu menunjukkan kesatuan ke arah tujuan itu.

“Walaupun teringin menggunakan logo roket, DAP akan berpegang kepada logo gabungan PH untuk membantu kita menang bersama-sama,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, DAP mengambil banyak pengajaran daripada pencapaian parti berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.

Hasilnya, beliau menegaskan, DAP berupaya memperbaiki kelemahan dengan mengurangkan kekalahan di Johor apabila memenangi 10 daripada 14 kerusi ditandingi.

“Walaupun PH mempunyai kelemahan, kita lebih ke hadapan dari segi prestasi berbanding Kerajaan Persekutuan dalam menangani kebimbangan perniagaan, pekerja dan kos sara hidup yang dihadapi rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment