NEW YORK: Lebih 150 pemimpin dunia berkumpul di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 tanpa kehadiran empat pemimpin daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan pertubuhan antarabangsa itu.
Presiden Russia Vladimir Putin, rakan sejawatnya dari China Xi Jinping, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain Rishi Sunak tidak hadir pada perhimpunan selama seminggu itu.
UNGA, badan pembuat dasar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ,pada tahun ini, sekali lagi menumpukan isu seperti krisis makanan global, kenaikan harga makanan, pemanasan global dan konflik Ukraine-Russia.
Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva adalah pemimpin pertama yang mengeluarkan kenyataan negara pada sesi Debat Umum, diikuti Presiden Amerika Syarikat Joe Biden selaku negara tuan rumah.
Manakala Presiden AS, Joe Biden, satu-satunya pemimpin anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang hadir di sini, menggesa seluruh dunia supaya menentang pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Selain daripada pemimpin negara dan kerajaan, ratusan perwakilan daripada pelbagai agensi PBB dan pertubuhan masyarakat madani menyertai beberapa acara dijadualkan sepanjang minggu ini.
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim dijangka tiba di New York pada pukul 10 pagi Rabu (10 malam waktu Malaysia) untuk membuat penampilan sulungnya di UNGA dengan kenyataan negara dijadual akan disampaikan pada pukul 10 pagi Jumaat (10 malam waktu Malaysia).
Tema Debat Umum pada tahun ini ialah: ” Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all”.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB António Guterres berkata beliau tidak begitu kisah mengenai siapa yang datang ke New York daripada apa yang perlu diselesaikan, terutamanya untuk menghidupkan semula Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang perlahan dalam usaha mencapainya.
(Foto United Nation)
